Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cerai gara-gara haiwan peliharaan tidak serasi

    BHOPAL, 2 OKT – Sebuah kes luar biasa mencuri perhatian di India apabila pasangan pengantin baru di Bhopal memfailkan perceraian selepas usaha berulang kali untuk mendamaikan haiwan peliharaan mereka, seekor anjing dan seekor kucing, menemui kegagalan.

    Menurut sumber daripada Mahkamah Keluarga Bhopal, pasangan yang tidak dinamakan itu pada awalnya berkenalan kerana sama-sama meminati haiwan, sebelum berkawan rapat dan akhirnya berkahwin pada Disember 2024. Namun, cinta terhadap haiwan masing-masing kini menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.

    Selepas berpindah bersama, si isteri mendakwa anjing milik suaminya sering mengganggu dan malah menyerang kucing peliharaannya, manakala si suami pula menegaskan bahawa dia sudah memberitahu sebelum perkahwinan bahawa isterinya tidak boleh membawa kucing ke rumah mereka.

    Dia turut mengadu bahawa kucing tersebut sering berada berhampiran akuarium ikan, menimbulkan ketegangan di rumah.

    Kedua-duanya enggan mengalah, si isteri tetap mempertahankan kucingnya, sementara si suami pula menyebelahi anjing kesayangannya. Walaupun telah dirujuk kepada sesi kaunseling berulang kali dan usaha ahli keluarga untuk mendamaikan mereka, pasangan itu akhirnya memilih jalan perceraian atas alasan perbezaan yang tidak dapat disatukan.

    “Manusia mencari teman dalam haiwan peliharaan, kadangkala meletakkan mereka lebih tinggi daripada hubungan sesama manusia,” kata kaunselor keluarga, Shail Awasthi.

    “Apabila kedua-dua pasangan enggan bertolak ansur, perkahwinan seperti ini pasti runtuh. Ia mencerminkan trend di mana ada yang menganggap perkahwinan ringan, seolah-olah haiwan boleh menggantikan ikatan manusia.”

    Pihak mahkamah keluarga turut menegaskan bahawa kes ini menggambarkan masalah mendalam pergantungan emosi terhadap haiwan di tengah-tengah peningkatan pengasingan sosial. – Agensi

    Gara-gara seekor anjing dan seekor kucing yang tidak dapat didamaikan, sepasang suami isteri pengantin baru memfailkan perceraian. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda