Pelakon Keith Foo semakin gemar mendengar atau menonton ceramah agama bagi menambah ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang Islam.
Keith atau Foo Chuan Chin, 41, berkata, walaupun bukan beragama Islam namun ilmu yang diperoleh banyak memberi impak positif dalam kehidupannya.
“Perkara baik tak salah kalau nak belajar. Kita boleh belajar sesuatu daripada agama lain. Mendengar ceramah boleh menambahkan ilmu saya untuk menjadi manusia lebih baik dan kalau ada benda positif saya akan ambil,” katanya kepada mStar.
Keith berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media drama bersiri Salju Rindu Di Bumi Auckland yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama kelmarin.
Sebelum ini, teman wanita Keith yang juga pelakon Riena Diana mendedahkan aktor tersebut gemar menonton ceramah agama di YouTube.
Mengakui Riena banyak memberi tunjuk ajar, Keith menjelaskan antara perkara yang menyentuh hatinya adalah tentang amalan sedekah.
Jelasnya, dia bukan sahaja mula memahami maksud di sebalik amalan tersebut tetapi turut gembira apabila dalam membantu orang lain dalam kesusahan.
“Kadang-kadang saya kurang faham, saya akan bertanya kepada Riena. Macam contoh ketika sambutan Maulidur Rasul, saya tanya Riena apa boleh saya buat untuk tambah pahala dan sedekah adalah salah satunya. Secara tidak langsung dapat membantu golongan memerlukan. Sudah pasti saya seronok melakukan hal itu,” ujarnya.
Enggan mengambil pusing kata-kata kecaman, Keith sebaliknya memandang teguran diberikan daripada sudut positif.
“Kalau ada bercakap negatif, saya tak ambil kisah tetapi yang beri komen positif ambil sebagai pengajaran. Bukan urusan saya untuk halang apa orang luar cakap. Saya tiada hak untuk tentukan hidup orang lain,” jelasnya. – Agensi