Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, baru-baru ini, telah mengadakan sambutan Hari Raya Aidiladha yang diisikan dengan ceramah agama bertajuk ‘Falsafah dan Signifikan Ibadah Qurban dari Perspektif Islam’.
Hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Seri Kerna, Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH itu ialah pengarah pusat berkenaan, Awang Alias bin Abu Bakar; Timbalan Pengarah Pentadbiran, Pengiran Haji Muhd Sufri bin Pengiran Ali; Timbalan Pengarah Profesional, Dr Paryono, pegawai-pegawai dan kakitangan pusat tersebut.
Ceramah telah disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar yang antara lain menyentuh mengenai bagaimana ibadah korban dapat diaplikasikan dan dihayati dalam kehidupan seorang Muslim sama ada dalam kehidupan peribadi, masyarakat bahkan dalam organisasi.
Beliau menyatakan bahawa ibadah korban adalah wasilah untuk membuktikan kehambaan diri kepada Allah dan wasilah untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada-Nya.
Majlis turut diisikan dengan laungan takbir raya yang diketuai oleh pengarah Awang Alias bersama-sama pegawai dan kakitangan pusat berkenaan.
Sambutan bertujuan untuk memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS.
Majlis juga merupakan salah satu aktiviti tahunan pusat untuk mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangannya.
