Monday, September 30, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceramah bantu guru hadapi cabaran pendidikan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Bagi melakar dunia pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang, terdapat tiga aspek utama iaitu kesejahteraan, motivasi dan pedagogi yang perlu ditekankan di mana-mana institusi pendidikan.

    Kesejahteraan yang baik dan penuh kegembiraan begitu mustahak bagi mewarnai kehidupan golongan guru dan pelajar dalam menempuhi rutin harian masing-masing.

    Hal ini secara tidak langsung mampu mewujudkan motivasi intrinsik dalam diri para guru dan pelajar di mana adanya rangsangan semangat dari dalam diri individu itu sudah setentunya mampu menimbulkan minat dalam seseorang terhadap sesuatu perkara yang dilakukan.

    Satu perkara lagi yang perlu dimiliki oleh setiap guru ialah keberkesanan pedagogi agar ia mampu menarik minat para pelajar dalam proses pembelajaran mereka.

    Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Profesor Madya Ng Pak Tee dari Institut Pendidikan, Universiti Nanyang, Singapura semasa berkesempatan ditemui pengamal media di Hotel Antarabangsa Rizqun, baru-baru ini bagi mengongsikan pandangan berhubung Interaksi Kesejahteraan, Motivasi dan Pedagogi untuk Kejayaan Pelajar yang merupakan tajuk pembentangan beliau sepanjang berlangsungnya EduTalk Khas bersempena Sambutan Hari Guru ke-34, 2024 selama empat hari di negara ini.

    Profesor Madya Ng Pak Tee semasa ditemui pengamal media bagi mengongsikan pandangannya, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH SIM Y. H
    Dr Roslena turut berkesempatan memberikan buah fikiran mengenai EduTalk Khas sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini. – GAMBAR OLEH SIM Y. H
    Antara pendidik yang menghadiri Majlis Pembukaan EduTALK Khas Sempena Sambutan Hari Guru ke-34 di Dewan Indah Biru, Kampung Lugu, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH SIM Y. H

    Justeru itu, jelas beliau, apabila ketiga-tiga aspek itu berjaya dimiliki, maka kecemerlangan mampu dicapai dengan sebaik-baiknya antara guru dan pelajar dengan memperoleh prestasi yang baik diiringi dengan jiwa raga mereka yang sihat dan sejahtera.

    MENGAJAR DENGAN PENUH SEMANGAT

    Dalam pada itu, Profesor Madya Ng Pak Tee, antara lain turut menekankan guru adalah golongan yang begitu penting dalam dunia pendidikan di mana mereka memiliki peranan besar dalam menghidupkan subjek-subjek yang diajarkan kepada pelajar mereka.

    Tekan beliau, bagaimanakah kita boleh mengharapkan inspirasi tanpa guru yang diilhamkan? Bagaimanakah kita boleh mengharapkan kegembiraan dalam pembelajaran tanpa kegembiraan dalam pengajaran? Maka genggamlah kata-kata semangat ini dalam mendidik anak bangsa kita iaitu ‘mengajarlah dengan mata bersinar-sinar!’

    “Para pelajar sama ada mereka suka mata pelajaran itu atau sebaliknya, maka perlunya setiap guru itu sentiasa membuat perubahan yang besar! Oleh itu, adalah penting guru-guru terus menambah baik pengajaran mereka!” ujarnya.

    MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI

    Secara umumnya, Profesor Madya Ng Pak Tee antaranya turut menekankan bahawa kebanyakan pelajar menghabiskan masa-masa mereka seharian di sekolah mahupun dalam bilik darjah maka dalam situasi ini, para guru mestilah sentiasa proaktif dalam terus memainkan peranan mereka bagi mengawal emosi anak didik mereka agar minat dan penglibatan pelajar-pelajar dalam pembelajaran sehari-hari terus berkembang.

    Jelas beliau lagi, hal itu juga termasuklah salah satu usaha dalam menitikberatkan aspek kesejahteraan pelajar melalui menjaga kesihatan mental mereka agar menghindari daripada rasa tertekan termasuklah jiwa yang tidak seronok ketika berada di dalam bilik kelas. Satu hal yang perlu diketahui adalah ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubati’.

    PENTINGNYA KESEIMBANGAN

    Profesor Madya Ng Pak Tee turut menambah dengan mengongsikan saranan peribadi dalam usaha para guru menambah baik pedagogi mereka dari semasa ke semasa, mereka perlu sentiasa mengubah pemikiran dan pandangan masing-masing daripada ‘inilah cara saya mengajar’ kepada ‘bagaimana saya boleh membantu mereka untuk belajar?’

    Beliau turut menekankan bahawa apa yang perlu diketahui kesejahteraan guru itu adalah mengenai pengajaran dengan baik, menyaksikan penglibatan para pelajar, dan menikmati proses pendidikan. Ia adalah mengenai bekerja keras tetapi tidak berlebihan sehingga mengabaikan penjagaan diri.

    PLATFORM PERKONGSIAN DUNIA PENDIDIKAN

    Sementara itu, dalam mengulas mengenai EduTalk Khas sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik dan Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Dr Roslena binti Pehin Datu Indera Sugara Dato Seri Laila Jasa Haji Johari antaranya menjelaskan EduTalk Khas itu akan dijalankan selama empat hari iaitu pada 26, 28 dan 30 September hingga 1 Oktober yang melibatkan 6,341 orang guru dari seluruh negara, di mana ia akan menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu utama dalam pendidikan.

    Selaku Ketua Unit Tenaga Pengajar, BDLTA, Kementerian Pendidikan dan timbalan pengerusi bersama EduTalk Khas, beliau turut menjelaskan melalui sesi-sesi EduTalk Khas ini, para guru serta pemimpin sekolah akan dapat berinteraksi dengan Profesor Madya Ng Pak Tee mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan tiga tema iaitu kesejahteraan guru, motivasi guru dan pedagogi untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.

    “Tema, kesejahteraan, motivasi dan pedagogi sangat relevan kerana dalam konteks pendidikan hari ini, guru-guru berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk menangani keperluan emosi dan mental pelajar serta diri mereka sendiri. Kesejahteraan guru adalah elemen penting yang mempengaruhi prestasi pengajaran mereka.

    “Di samping itu, motivasi yang tinggi dalam kalangan guru dan pelajar dapat membantu meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.

    “Gabungan kesejahteraan, motivasi, dan pedagogi yang berkesan akan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif, sekali gus memberikan impak kepada kejayaan pelajar kita secara menyeluruh,” ujar Dr Roslena.

    Sehubungan itu, beliau menyatakan antara objektif utama EduTalk Khas ini adalah untuk memberikan inspirasi kepada guru-guru dalam memperkukuhkan kesejahteraan diri mereka sendiri, meningkatkan motivasi dalam bilik darjah, dan mengaplikasikan pedagogi yang lebih efektif.

    “Insya-Allah, melalui perkongsian daripada Profesor Madya Ng Pak Tee, saya berharap guru-guru akan memperoleh strategi-strategi praktikal yang boleh membantu mereka menghadapi cabaran pendidikan masa kini.

    “Selain itu, EduTalk Khas ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai betapa pentingnya hubungan yang erat antara kesejahteraan, motivasi, dan pedagogi dalam membentuk kejayaan pelajar. Happy Teachers, Happy Students, Happy Schools, Happy Parents, Happy Ministry!,” ucapnya di akhir temu bual bersama para pengamal media, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda