Monday, October 7, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceramah jelaskan Iman, Takwa sebagai asas keluarga bahagia

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Dalam usaha memberikan kefahaman mengenai kepentingan membina keluarga berlandaskan ajaran Islam bagi membentuk kehidupan sakinah, mawaddah wa rahmah, ceramah bertajuk Iman dan Takwa, Asas Kebahagiaan Hidup Berkeluarga telah diadakan hari ini di Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

    Ceramah keagamaan itu telah disampaikan oleh Penolong Kaunselor Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali.

    Awang Fariszal semasa menyampaikan ceramah berkenaan.

    Antara lain tujuan acara itu diadakan adalah bagi memberikan panduan kepada para ibu bapa untuk mengamalkan doa dan zikir sebagai usaha mendapatkan keberkatan dan rahmat daripada Allah.

    Bagi mendukung Pelan Tindakan Keluarga 2023-2027, ceramah berkenaan telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

    Ceramah itu juga diharapkan dapat memberikan kefahaman pentingnya untuk merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam usaha membimbing keluarga ke jalan yang diredai Allah, agar dapat menikmati kehidupan yang selamat dan bahagia, baik di dunia mahupun di akhirat.

    Datin Hajah Nahriah menghadiri ceramah berkenaan selaku tetamu kehormat.

    Antara yang hadir semasa ceramah berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda