Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain
TEMBURONG, 1 Mac – Dalam memeriahkan lagi Sambutan Hari Polis Negara Brunei Darussalam ke-96 tahun ini, Ibu Pejabat Daerah Polis Temburong telah menganjurkan ceramah keagamaan bertempat di Dewan Serba Guna, Kompleks Bumiputera, Pekan Bangar, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penguasa Polis, Awang Suhari bin Haji Sukri.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai serta anggota-anggota Daerah Polis Temburong, ketua-ketua cawangan jabatan-jabatan kerajaan, Daerah Temburong, ketua-ketua kampung serta ahli-ahli pengawasan kejiranan di daerah berkenaan.


Ceramah telah disampaikan oleh penceramah undangan daripada Pusat Dakwah Islamiah, Dr. Andas Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah, yang antara lain mengandungi mengenai maksud dan isi tema pada tahun ini iaitu ‘Perpaduan dan Keharmonian Mengukuhkan Keamanan’.
Juga disentuh ialah bagaimana usaha untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang aman makmur ke arah mencapai ‘Baldatun Thaiyyibatun Wa Rabbun Ghafur’, iaitu negara yang baik dan mendapatkan keampunan dari Allah Subhanahu Wata’ala.