Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1445H /2023M di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, timbalan setiausaha tetap (Infokomunikasi), dan timbalan setiausaha tetap (Pengangkutan), ketua-ketua jabatan, ketua-ketua eksekutif dan pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC, jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk KNK: Kenali Nabi Kitani SAW yang disampaikan oleh Pengasas Syarikat Sofwah dan Penceramah Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Muhamad Waqiyuddin Fakhri bin Haji Damit.
Majlis merupakan aktiviti tahunan MTIC serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya di mana pada tahun ini, majlis dikelolakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat.