Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Gleneagles JPMC dengan kerjasama Bank Syariah Indonesia (BSI) berjaya menghoskan ceramah kesihatan eksklusif bertajuk Health is Wealth, yang berlangsung di Restoran Bunga Rampai, Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Gleneagles JPMC, di sini, acara bagi klien Prioritas BSI itu menumpukan kepada pencegahan dan rawatan penyakit jantung koronari serta kemajuan terkini dalam pembedahan jantung.
Turut hadir pada ceramah dari Gleneagles JPMC ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Peter Tay dan Ketua Pegawai Operasi, Awang ‘Izzul Hamzi bin Haji Jomari serta dari BSI ialah Pengurus Perbankan Keutamaan BSI, Aris Ratna Nurinda, Pengurus Cawangan BSI, Hendro Kusworo dan Ketua Pakar Harta BSI, Anjar Gumelar.
Acara itu memberikan peluang kepada para hadirin mendapatkan gambaran berharga daripada pakar-pakar jantung unggul Gleneagles JPMC termasuk Ketua Perkhidmatan Klinikal dan Pengarah Pembedahan Jantung Gleneagles JPMC, Profesor Dr Eugene Sim Kwang Wei dan Pakar Intervensi Kardiologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr Mohamad Ezam bin Emran, yang juga konsultan pelawat di Gleneagles JPMC, di mana mereka me-ngongsikan pengetahuan kritikal mengenai kesihatan jantung dan pilihan rawatan canggih yang terdapat di Negara Brunei Darussalam.
Sesi itu juga mengetengahkan pentingnya pengesanan awal dan langkah-langkah penjagaan kesihatan pencegahan untuk menangani penyakit jantung yang merupakan penyebab kematian utama di seluruh dunia.
Mereka turut mengongsikan kepakaran dalam perkembangan terkini dalam rawatan jantung dan perkhidmatan penjagaan kesihatan komprehensif yang terdapat di Gleneagles JPMC.
Gleneagles JPMC secara aktif telah mempromosikan perkhidmatannya kepada pasaran Indonesia dan berjaya memeterai perjanjian dengan pejabat-pejabat wakil di Jakarta, Bandung, Balikpapan, Samarinda, Medan, Solo dan Surabaya.
Perkembangan itu disokong IHH Healthcare Singapura, sebahagian daripada IHH Healthcare, salah satu penyedia penjagaan kesihatan terbesar dunia dan pemegang saham Gleneagles JPMC.
Selain kerjasama berkenaan, Gleneagles JPMC juga telah menandatangani perjanjian dengan BSI bagi tawaran eksklusif kepada kemudahan dan perkhidmatan hospital termasuk kadar diskaun bagi pakej perkhidmatan jantung terpilih bagi klien Prioritas BSI dan pakej penjagaan khusus.
