Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Forum Perniagaan Britain Brunei (BBBF) mengadakan ceramah perniagaan untuk ahli-ahlinya dan tetamu jemputan dengan menampilkan seorang penceramah dan pemimpin perniagaan terkemuka, Dato Timothy Ong, di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British, kelmarin.
Ceramah bertajuk Doing Business in Brunei: Tips to a Smoother Journey itu menyediakan platform untuk ahli BBBF terlibat dalam dialog dinamik mengenai trend, cabaran dan peluang terkini dalam landskap perniagaan tempatan.
Semasa ceramah itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain di Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe dalam ucapannya antara lain menjelaskan, ia adalah satu penghormatan untuk menganjurkan perhimpunan profesional dan ahli perniagaan.
“Acara itu telah mempamerkan perkongsian kukuh antara Suruhanjaya Tinggi Britain dan BBBF, selain melahirkan keyakinan di mana pandangan yang dikongsi oleh Dato Timothy Ong akan menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan dan inovasi komuniti perniagaan kita,” jelasnya.
Manakala Pengerusi BBBF, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim pula, mengongsikan kegembiraan kerana dapat menyaksikan tenaga positif dan hubungan bermakna yang terjalin semasa acara tersebut.
“Ia turut mengukuhkan komitmen kami untuk menyampaikan pengalaman berkesan yang memperkasakan ahli kami dan menyumbang kepada kemajuan landskap perniagaan,” katanya.
Semasa ceramah itu, Dato Timothy Ong telah mengongsikan bagaimana perniagaan boleh menerima perubahan dan memacu inovasi, dan berkongsi beberapa panduan tentang cara memikirkan semula model perniagaan tradisional untuk memacu kecekapan, daya saing dan pertumbuhan.
Acara diakhiri dengan majlis makan malam yang dihoskan oleh TYT John Virgoe.
