Oleh Sim Y. H. –
BELAIT, 30 JULAI – Setiap tahun menjelang peperiksaan, semua sekolah akan mengadakan pelbagai sesi motivasi bagi murid-murid Tahun 6 sebagai persiapan bagi mereka untuk menghadapi peperiksaan.
Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB, Kuala Belait juga tidak ketinggalan untuk mengadakan ceramah motivasi bagi murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.
Sesi motivasi berkenaan dihadiri oleh seramai 16 murid dan 26 ibu bapa dan penjaga.
Ketika mengulas mengenai ceramah motivasi berkenaan, Guru Besar STJ PGGMB, Kuala Belait, Dayang Fazziah binti Kamis, menerangkan ia bertujuan untuk meningkatkan lagi motivasi dan menggalakkan murid-murid sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi peperiksaan.
Di samping itu, ia juga diharap akan dapat melahirkan pelajar yang tekun belajar dan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Pada masa yang sama, ia juga dapat meningkatkan penglibatan dan sokongan ibu bapa dan penjaga dalam pembelajaran anak-anak mereka di rumah.

Sesi ceramah mengetengahkan penceramah undangan iaitu Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri di mana beliau menekankan dan mengongsi beberapa tip bagi persediaan para pelajar menghadapi peperiksaan nanti.
Di antara yang dikongsi olehnya ialah peranan ibu bapa dan penjaga untuk mengikuti pembelajaran anak-anak mereka semasa di rumah, sentiasa menjaga persiapan fizikal anak-anak, menjaga kesihatan mental mereka, menjaga emosi, belajar secara berkumpulan, mengurangkan penggunaan gajet, menjaga masa, sentiasa berdoa serta melakukan solat setiap masa.
Haji Mustapa turut mendoakan semoga murid-murid Tahun 6 berkenaan akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka nanti.
Sementara itu, ibu bapa dan penjaga murid menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak sekolah dan penceramah undangan yang berkesudian mengongsi tip bagi persiapan menghadapi peperiksaan serupa itu.

