Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Lebih 40 peserta hadir memeriahkan sesi ceramah khas dan mini pameran bertemakan Youth Power: Didikan Rasulullah untuk Anak Muda anjuran Kumpulan Syababurroja dari Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, sempena sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah.
Ceramah khas tersebut disampaikan oleh Penolong Pendaftar Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Ustaz Dr Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin, di Dewan Serbaguna, masjid berkenaan petang kelmarin.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya anak muda mengenai sejarah hidup, perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW melalui pendekatan ceramah serta pameran visual dan interaktif, di samping menyemai rasa kecintaan terhadap Baginda, menghidupkan sunnah serta meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai belia di Negara Brunei Darussalam.
Dalam ceramahnya, Ustaz Dr. Muhammad Yadiy menekankan Hadis ke-19 daripada himpunan Imam Nawawi iaitu “Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu”. Beliau turut menyentuh kepentingan menjaga keimanan di kalangan belia, meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam setiap urusan kehidupan, hubungan erat antara iman, takwa dan kekuatan rohani, selain cabaran kesihatan mental yang semakin mencabar dalam kalangan generasi muda.
Selain ceramah, turut diadakan mini pameran infografik bertajuk Garis Masa Kehidupan Nabi Muhammad SAW” yang memaparkan perjalanan hidup Baginda sejak kelahiran hingga kewafatan, serta Wall of Heroes yang mengetengahkan sepuluh pemuda hebat pada zaman Rasulullah SAW sebagai inspirasi generasi muda.
Peserta juga diberi peluang menyumbang pandangan melalui Board of Sunnah dan Board of Harapan dengan menulis contoh-contoh sunnah Rasulullah SAW serta harapan mereka terhadap belia masa kini. Sementara itu, kuiz interaktif bertajuk Teka Sahabat turut dijalankan, memberi peluang kepada peserta memenangi hadiah istimewa.
Acara berakhir dengan penuh meriah melalui sesi kuiz yang disambut dengan keterujaan para peserta. Pihak penganjur berharap melalui program ini, para belia akan lebih terdorong untuk menghayati sunnah Rasulullah SAW, memperkukuhkan jati diri serta berperanan sebagai generasi berakhlak mulia dengan menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai contoh teladan.
Semua di atas Caption: Antara suasana semasa sesi berkenaan.

