Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ceramah Perdana dalami Munajat Terapi Hati

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, hari ini, berkenan berangkat mendengarkan Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2023 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

    Keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2023.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan dalam sembah alu-aluannya antara lain menjelaskan, Ceramah Perdana itu adalah lanjutan daripada perkumpulan ilmu pada hari pertama majlis perasmian, Seminar Majlis Ilmu dan Forum Perdana.

    “Majlis Ceramah Perdana ini dihasratkan untuk mendalami lagi kefahaman tentang munajat dan taubat dengan harapan ia membawa lebih keberkatan dan kebaikan dalam kehidupan kita seharian,” sembah beliau.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam berkenan dijunjung bagi bergambar ramai. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam berkenan mendengarkan Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2023. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Ceramah Perdana disampaikan oleh Dr Hajah Lilly Suzana. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir pada Ceramah Perdana berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Yang Berhormat Datin menekankan, “Melalui Ceramah Perdana ini kita berpeluang untuk memperolehi ilmu baharu yang boleh menjadi sumber inspirasi bagi semua peserta.”

    Ceramah Perdana bertajuk Munajat Terapi Hati telah disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor (Fakulti Usuluddin) dan Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu.

    Beliau antara lain menyembahkan, munajat perlu lahir dari hati yang suci bersih sesuai dengan kedudukan tempat bermohon dan memahami posisi dan kedudukan hati tidak tetap lantas ia perlu dikawal secara berterusan dan memerlukan terapi ketika dalam kegelisahan.

    Beliau turut merungkai pengertian munajat dan kepentingan mendidik hati dalam meraih ampun dan penerimaan sebarang permohonan.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menandatangani Lembaran Kenangan dan Doa Selamat dibacakan oleh Penolong Pengarah Pengajian Islam, Hajah Mariana binti Haji Jamil.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...