Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceramah perdana perkukuh penghayatan makna Negara Zikir

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Menekankan makna dan falsafah mendalam di sebalik pengertian Negara Zikir sebagai sebuah negara yang sentiasa mengingati Allah SWT kembali diperkuat melalui Ceramah Perdana Negara Zikir Melayu Islam Beraja (MIB) bertajuk Mengisi Negara Zikir yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

    Program berkenaan dianjurkan bersama oleh Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB, Kementerian Pendidikan; dan Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Ceramah berkenaan disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang menjelaskan bahawa Negara Zikir bermaksud negara yang sentiasa menyebut dan mengingati Allah, tidak berpisah daripadaNya, serta menjadikan Allah sebagai sandaran dalam segala urusan kehidupan.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, Negara Zikir ialah negara yang ketika senang bersyukur kepada Allah dan ketika susah memohon pertolongan daripadaNya. Harapan, cita-cita dan wawasan negara sedemikian hanya tertumpu kepada memperoleh keredaan Allah SWT.

    Turut hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Salim bin Haji Besar dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos.

    Penganjuran ceramah perdana tersebut antara lain bertujuan memperkasakan keimanan serta membudayakan amalan zikir sebagai teras kehidupan beragama, selaras dengan aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

    Selain itu, ceramah itu juga menjadi wadah memperkukuh kefahaman terhadap konsep MIB dalam menghadapi cabaran globalisasi, di samping menyemai nilai-nilai agama dan MIB dalam diri masyarakat, khususnya generasi muda.

    Usaha itu diharap dapat memastikan kelangsungan identiti Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang unik, berdaulat dan bermartabat untuk generasi akan datang.

    Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menyampaikan ceramah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Salim dan Dato Seri Paduka Mohamed Riza antara yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda