Oleh Daniel Lim
BELAIT, 17 MAC – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menerapkan misi dan matlamat pergerakan pengakap dalam kalangan pemimpin dan ahli pengakap di seluruh Daerah Belait, Persatuan Pengakap Daerah Belait (PPDB) telah mengadakan ceramah mengenai Messenger of Peace hari ini di ibu pejabat mereka yang terletak di Jalan Maulana, Kuala Belait.
Dihadiri oleh lebih 20 pengakap rover, ceramah telah disampaikan oleh Penyelaras Messenger of Peace 2022-2025, Pertubuhan Pengakap Kebangsaan (NSO) Wilayah Asia Pasifik (APR), Ritchie Siabu.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Awang Mohamad Hatta bin Haji Suhaili, yang berharap pengakap rover yang hadir akan memanfaatkan sepenuhnya ceramah tersebut untuk belajar lebih banyak mengenai pesuruh keamanan yang selaras dengan pergerakan pengakap.
Semasa ceramah, Ritchie Siabu menjelaskan lebih lanjut mengenai Messenger of Peace, serta inisiatifnya untuk menggalakkan dan mengiktiraf projek perkhidmatan yang menyumbang kepada keamanan dunia sambil mendorong kemajuan yang penuh makna dalam mencapai matlamat pembangunan lestari (SDG).
Antara topik lain yang dibincangkan termasuk sejarah Messenger of Peace, bagaimana pemimpin dan ahli pengakap boleh mencapai lencana tersebut, serta bagaimana untuk memulakan perjalanan mereka bagi menjadi Messenger of Peace, yang diperkukuhkan dengan aktiviti dan tugasan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada ceramah tersebut.
