Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceramah Sejarah Melayu Islam Beraja

    BANDAR SERI BEGAWAN – Lebih 130 pegawai, guru-guru dan penuntut Pra U1 Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dalam Jurusan Syariah, Usuluddin dan Lughah menghadiri Ceramah Sejarah Melayu Islam Beraja yang diadakan di Dewan Al-Azkiya SMALHB pada 23 November lalu.

    Ceramah disampaikan oleh Pegawai Sejarah Kanan, Pusat Sejarah Brunei, Awang Muhammad Faisal bin Haji Mat Salleh. Ceramah antara lain menyentuh pengertian konsep Melayu, Islam dan Beraja, sejarah dan kepentingan konsep Melayu Islam Beraja dalam kehidupan bernegara. Ceramah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Pegawai Pelajaran Mata Pelajaran Al-Quran SMALHB, Awang Muhammad Izzuddin Fathullah bin Haji Ahmad.

    Ceramah yang dikendalikan oleh Pusat Sejarah Brunei dan dianjurkan oleh Bahagian Pentadbiran 1 dan 2 serta Unit Perkembangan Professional SMALHB ini bertujuan untuk memberikan maklumat terkini kepada pegawai-pegawai, guru-guru dan pelajar SMALHB tentang sejarah dan konsep Melayu Islam Beraja serta meningkatkan kesedaran warga SMALHB akan kepentingan perlaksanaan MIB dalam kehidupan seharian sebagai seorang warga negara Brunei.

    Selain itu juga adalah bertujuan memberikan kefahaman secara mendalam peranan konsep MIB dalam pelaksanaan jentera pentadbiran kerajaan bagi mendukung wawasan negara 2035. Hadir pada ceramah tersebut, Timbalan Pengetua Akademik SMALHB, Ustazah Hajah Nafisah binti Haji Jali.

    Dalam ceramah tersebut, satu pameran juga diadakan yang memaparkan maklumat mengenai sejarah kesultanan Brunei dan sejarah negara.

    Turut dipamerkan adalah buku-buku terbitan Pusat Sejarah Brunei dan sudut karya penulisan khat yang menonjolkan karya seni khat yang menarik dan kreatif.

    Antara pelajar SMALHB yang menghadiri Ceramah Sejarah Melayu Islam Beraja yang diadakan baru-baru ini. – Gambar serahan SMALHB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda