Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Dalam menyemarakkan lagi Sambutan Ilal Hijrah 1446 dengan acara bercorak keagamaan, Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd (BMC) hari ini telah menganjurkan ceramah agama di Surau BMC.
Ceramah bertajuk Memelihara Minda, Masyarakat Sejahtera itu telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Pegawai Kemajuan Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohd Isham bin Haji Ismail.
Tahun Baharu Islam menandakan masa untuk muhasabah dan pembaharuan rohani bagi umat Islam di seluruh dunia, manakala hijrah, atau penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah memberikan pelajaran abadi untuk umat Islam, di samping memberikan inspirasi kepada pertumbuhan peribadi dan rohani.
Awang Mohd Isham dalam ceramah beliau turut menekankan cara untuk memelihara akal yang waras melalui hijrah rohani yang boleh membawa kepada masyarakat yang sejahtera.
“Perjalanan ini melibatkan meninggalkan pengaruh dan tingkah laku negatif kepada kehidupan yang mulia dan memuaskan. Ia adalah transformasi hati, fikiran dan jiwa ke arah kebenaran, belas kasihan dan pengabdian kepada Allah SWT,” tambahnya.
Dengan acara seumpama ini, BMC berhasrat untuk menyokong pertumbuhan rohani dan peribadi tenaga kerjanya, menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran keseluruhan masyarakat.




