Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 29 April – Lebih 100 orang Muslimah terdiri daripada Kumpulan Muslimah Masjid-masjid Daerah Tutong telah menghadiri ceramah sempena Israk dan Mikraj yang diadakan di Masjid Kampung Lubok Pulau, Tutong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ketua Bahagian Muslimah di Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussein.
Ceramah bertajuk ‘Peranan Suri Rumah Terhadap Keluarga’ telah disampaikan oleh Ketua Unit Pendidikan Khas di Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

Antara isi kandungan ceramah tersebut menekankan mengenai peranan suri rumah atau isteri yang perlu menjaga hati suami dan anak-anak dalam memelihara keharmonian keluarga selain mengamalkan sikap taat-mentaati dan hormat-menghormati sesama keluarga.
Selain itu, isteri juga perlu memata-matai anak-anak di rumah dari segi kegiatan dan pembelajarannya di rumah serta berkongsi dan mendengar masalah yang dihadapi oleh anak-anak dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.
Ceramah bersempena Israk dan Mikraj anjuran Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Lubok Pulau itu bertujuan bagi memberikan pengetahuan kepada ahli-ahli kumpulan Muslimah masjid mengenai kepentingan dan peranan seorang isteri dalam urusan hal ehwal rumah tangga.