Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Penekanan terhadap kepentingan mengurus emosi, menjaga kesihatan mental serta mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW menjadi intipati ceramah khas bertajuk Rasulullah dan Seni Mengurus Emosi: Panduan Jiwa untuk Zaman Penuh Tekanan yang disampaikan oleh Penolong Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah (Ceramah), Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Ustazah Siti Juhaidah binti Haji Bujang.
Ceramah berkenaan diadakan oleh Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI), berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Ibu Pejabat Polis Gadong baru-baru ini.
Hadir sebagai tetamu kehormat ialah Isteri kepada Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), selaku Yang Di-Pertua PEKERTI, Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong.

Program anjuran Badan Didikan PEKERTI dan Badan Keugamaan PEKERTI itu bertujuan meningkatkan kefahaman, kesedaran dan pendidikan mengenai penjagaan kesihatan mental menurut perspektif Islam, termasuk amalan sunnah seperti doa dan zikir.
Majlis turut dihadiri Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI serta ahli-ahli daripada tujuh cawangan lain, termasuk isteri-isteri pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

-GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PEKERTI

