Monday, July 14, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceramah tingkat kesedaran kanser

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 28 NOV – Sebagai usaha untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang bahaya kanser dan cara mengesannya pada peringkat awal, Hospital Suri Seri Begawan telah menganjurkan Ceramah Kesedaran Kanser yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hospital, hari ini, di Bilik Persidangan Blok R hospital berkenaan.

    Lebih 80 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan daripada pelbagai jabatan kerajaan, serta sekolah-sekolah tempatan dari seluruh Daerah Belait telah mengikuti ceramaah berkenaan.

    Hadir selaku moderator ialah kakitangan kejururawatan hospital, Haji Mohd Reduan bin Abdul Fata, yang memperkenalkan tiga penceramah yang menyampaikan topik masing-masing berkaitan kanser.

    Salah seorang daripadanya ialah Pakar Perunding Perubatan Onkologi The Brunei Cancer Centre, Pantai Jerudong Specialist Centre dan Profesor di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Dr Ravi Sekhar Patnaik, yang menyampaikan ceramah mengenai Kesedaran Kanser Payudara. Sementara itu, Pakar Perubatan dan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Dr Indulekha Anayath turut menyampaikan ceramah mengenai Kesedaran Kanser Serviks; dengan doktor dan Ketua Pembedahan Am, Chong Chean Leung menyampaikan ceramah terakhir acara mengenai Kesedaran Kanser Kolorektal.

    Selepas sesi soal jawab ringkas, acara berkenaan diikuti dengan majlis penyampaian sijil dan tanda penghargaan yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif hospital, Awang Mohamad Alikhan bin Haji Mohd Yakop kepada penceramah jemputan.

    Ceramah tersebut bertujuan untuk membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pelbagai jenis kanser yang boleh menjejaskan lelaki dan wanita, dengan mengetahui cara mengenal simptom kanser serta menjalankan ujian dan saringan awal untuk mencegah penyebaran kanser ke peringkat akhir.

    Di samping itu, ceramah juga menekankan pelbagai kemajuan yang dibuat bukan sahaja dalam peringkat saringan tetapi juga rawatan yang terdapat di negara ini dan juga di seluruh dunia.

    Antara peserta yang hadir semasa majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda