Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Ceramah tingkat kesedaran kanser

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan BIBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kesejahteraan kakitangan dan bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bekerjasama dengan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) untuk mengadakan ceramah kesedaran kanser yang berlangsung di Ibu Pejabat BIBD, hari ini.

    Ceramah yang dihadiri lebih 50 orang kakitangan BIBD itu mengetengahkan jenis-jenis kanser yang sering berlaku dalam kalangan kaum lelaki dan perempuan, simptom serta cara-cara untuk melakukan pemeriksaan payudara kendiri.

    Ceramah itu disampaikan oleh Konsultan Perubatan Onkologi dari The Brunei Cancer Centre (TBCC), Dr Raden Mas Jeffri bin Raden Mas Ismail dan Pegawai Perubatan Kanan di Early Detection and Cancer Prevention Services, TBCC, Dr Nur Sadrina binti Haji Marsidi.

    Ceramah itu juga termasuk sesi perkongsian daripada seorang bekas pesakit kanser dan seorang pesakit yang sedang melalui perjalanan kansernya.

    Turut hadir semasa ceramah itu ialah Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman serta ahli pengurusan kanan BIBD.

    Dr Raden Mas Jeffri dan Dr Nur Sadrina semasa menyampaikan ceramah pada acara tersebut.
    Antara peserta yang hadir pada ceramah yang berlangsung di Ibu Pejabat BIBD, kelmarin.

    Ketua Pegawai Sumber Manusia BIBD, Dayang Habibah binti Haji Harry berkata warga kakitangan mereka merupakan aset paling penting dan pihaknya sentiasa melabur dalam program serta inisiatif untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan mereka termasuk pemeriksaan perubatan komprehensif bagi kesemua kakitangan, liputan kesihatan Takaful, akses kepada gim serta penggunaan gim percuma di gim tempatan berprestij.

    Di samping itu, mereka juga menyediakan Kelab Rekreasi dan Sukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan keseimbangan kehidupan-kerja.

    “Di BIBD, kami percaya kesejahteraan dan kesihatan mental juga sama penting dengan kesihatan fizikal kita. Semasa pandemik, ceramah motivasi kerap disampaikan secara maya dan kesemua kakitangan kami mempunyai akses kepada perkhidmatan kaunseling dan pengurusan stres.”

    Budaya kesejahteraan BIBD dapat disaksikan dalam Platun Korporat yang ditubuhkan baru-baru ini, yang merupakan ejen bantuan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei (PBSM).

    Platun yang terdiri daripada anggota sukarelawan dalam kalangan kakitangan BIBD telah melalui dan menamatkan latihan intensif Occupational First Aid Certification Training (OFAC) yang diiktiraf oleh Autoriti Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Program Latihan Kesejahteraan yang pertama seumpamanya di Brunei.

    Platun berkenaan juga mengendalikan pemeriksaan kesejahteraan dan kesihatan bagi kesemua kakitangan BIBD, dengan tujuan menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam mengurangkan insiden penyakit tidak berjangkit selaras dengan nilai-nilai asas Maqasid Shariah dan mencapai kualiti kehidupan yang tinggi seperti yang digariskan dalam Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...