Saturday, July 26, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceramah tingkat kesedaran kesihatan jantung

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Gleneagles JPMC telah menyertai ceramah kesihatan antarabangsa kedua yang dihoskan oleh Bank Syariah Indonesia (BSI) di Malang, Jawa Timur pada 22 Julai lalu.

    Menurut kenyataan daripada Gleneagles JPMC, acara itu adalah sebahagian daripada perkongsian berterusan antara Gleneagles JPMC dan BSI, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan jantung dan mempromosi akses perubatan rentas sempadan di rantau ini.

    Acara tersebut menampilkan ceramah daripada Ketua Perkhidmatan Klinikal dan Pengarah Pembedahan Jantung, dan Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik dari Gleneagles JPMC, Dr Eugene Sim.

    Beliau menyampaikan pembentangan tentang kesihatan jantung dan mengetengahkan tanda-tanda dan gejala serangan jantung dan menekankan kepentingan pengesanan awal dan perubahan gaya hidup dalam mencegah penyakit kardiovaskular.

    Sementara itu, Eksekutif Komunikasi Pemasaran Gleneagles JPMC, Josephina Yong juga memperkenalkan rangkaian luas perkhidmatan Gleneagles JPMC dan berkongsi tawaran Brunei sebagai destinasi alternatif untuk pelancongan perubatan.

    Dalam ucapan, Ketua Pegawai Operasi Gleneagles JPMC, Awang ‘Izzul Hamzi bin Haji Jomari, merakamkan penghargaan atas kerjasama berterusan dengan BSI.

    “Acara seperti ini membolehkan kami bukan sahaja berkongsi kepakaran kami, tetapi juga membina hubungan yang lebih kukuh dengan rakan kongsi utama seperti BSI dan pelanggan mereka. Kerjasama ini merupakan peluang yang sangat baik untuk Gleneagles JPMC mengembangkan kehadiran kami dan membawa perkhidmatan jantung terbaik di dunia lebih dekat ke Indonesia.”

    Manakala Pengurus Kawasan Malang, Waskito Vergino, bagi pihak BSI berkata, “Kami berbesar hati dan berterima kasih kepada Gleneagles JPMC Brunei Darussalam. Acara ini benar-benar menunjukkan kekuatan dan semangat visi bersama kami.”

    Ceramah kesihatan terbaharu ini menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha berterusan Gleneagles JPMC untuk meletakkan Brunei sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang dipercayai, sementara mengukuhkan lagi perkongsian yang membuahkan hasil antara Gleneagles JPMC dan BSI.

    Gambar ramai semasa ceramah kesihatan antarabangsa kedua yang dihoskan BSI di Malang, Jawa Timur pada 22 Julai lalu. – GAMBAR SERAHAN GLENEAGLES JPMC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda