Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Cerap burung dekatkan dengan alam semula jadi

    Oleh Soon Li Wei
    Gambar serahan FRIM

    KUALA LUMPUR – Terletak hanya 15 kilometer dari pusat bandar raya, hutan ladang Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong di sini, menawarkan pengalaman menarik tanpa perlu berbelanja besar bagi warga kota yang menyukai alam semula jadi.

    Pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk menikmati keindahan fauna dan flora di situ, antaranya ialah memerhati atau mencerap burung di Paya Burung yang dibuka sepenuhnya kepada umum bermula 15 Mac lepas.

    Bersama-sama 11 lagi peserta, penulis berpeluang mengikuti aktiviti tersebut yang dianjurkan oleh Cawangan Ekopelancongan FRIM, dalam usaha institut itu mendekatkan masyarakat dengan alam semula jadi.

    Tidak perlu peralatan canggih dan mahal, sekadar sebuah binokular berkualiti atau teleskop atau hanya bersandarkan penglihatan mata kasar serta aplikasi eBird dalam telefon pintar atau buku rujukan spesies burung bagi yang ingin mencuba.

    Malah, jika bernasib baik, anda berpeluang ‘terserempak’ dengan burung rapang duit atau nama saintifiknya Vanellus indicus, iaitu antara unggas terlindung yang hampir pupus di Malaysia.

    Ahmad Azaruddin Mohd Noor projek sains kemasyarakatan melibatkan aktiviti pencerapan burung diharap dapat bertindak sebagai serampang dua mata.
    Salah seorang peserta program, Shukri Mohd Yusof mengongsikan aktiviti mencerap burung boleh menenangkan jiwa selain mengenali spesies burung dan habitatnya.
    Mahasiswa Kolej Amira Nor Sabrina Ambran.
    Para peserta Program Sains Kemasyarakatan FRIM dalam aktiviti pencerapan burung, bergambar di hadapan Paya Burung.

    Lihat lebih dekat

    Ketibaan penulis dan peserta ‘Projek Sains Kemasyarakatan Mengenai Burung’ pada 7 pagi di Paya Burung disambut ciapan pelbagai unggas dan bunyi cengkerik.

    Sinar matahari pagi yang belum terik berserta hembusan bayu sejuk terasa begitu nyaman dan menenangkan bagi penulis yang banyak menghabiskan masa di tengah-tengah hutan batu yang panas kering.

    “Seronoknya,” ujar rakan peserta Amira Nor Sabrina Ambran, 21, kepada Bernama.

    Menurut penuntut universiti tempatan tersebut, itu adalah kali pertama baginya mengikuti aktiviti sedemikian.

    “Saya dapat pelajari banyak benda, bukan sahaja mengenali spesies burung tetapi juga habitat, cara hidup dan kepentingan memelihara alam semula jadi,” kongsinya.

    Selain itu katanya tidak sukar untuk melakukan aktiviti cerap burung.

    “Apabila dengar sahaja bunyi burung, kami mengesan dari mana arah bunyi itu datang dan kemudian menggunakan binokular untuk mengenal pasti jenis burung melalui ciri-ciri fizikal,” ujar gadis tersebut.

    Bagi Shukri Mohd Yusof, 31, aktiviti mencerap burung boleh menenangkan jiwa selain mengenali spesies burung dan habitatnya.

    “Jika bernasib baik, boleh tengok burung hijrah yang datang pada tempoh-tempoh tertentu. Kita dapat tengok cara hidup burung hijrah yang berasal dari negara lain, misalnya spesies yang menangkap ikan menggunakan paruhnya yang panjang di tasik,” kata pemandu van dari Selayang Baru berkenaan.

    Rekod spesies burung

    Sementara itu, Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar, Cawangan Ekopelancongan FRIM, Ahmad Azaruddin Mohd Noor berkata projek sains kemasyarakatan itu diharap dapat bertindak sebagai serampang dua mata, iaitu mendekatkan orang ramai dengan alam semula jadi dan meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti.

    Menurutnya, setakat ini terdapat 86 spesies burung di Paya Burung termasuk empat yang baru dikenal pasti oleh peserta projek tersebut.

    “Selain dapat membantu mendapatkan data mengenai spesies burung di kawasan FRIM ini, kami turut memberi pendedahan kepada peserta tentang aktiviti pemerhatian burung yang sebenarnya sangat menyeronokkan,” katanya.

    Jelas beliau, dengan menggunakan buku rujukan spesies burung serta aplikasi eBird telefon pintar, peserta dapat mengenal pasti burung mengikut jantina, karakter, ciri-ciri serta habitat sebelum lokasi penemuan ditandai dan disumbangkan kepada maklumat dalam aplikasi itu.

    “Pada masa yang sama, kami berharap projek ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya pelajar-pelajar sekolah, tentang kepentingan mengenali dan memahami sumber alam semula jadi iaitu burung yang menjadi indikator kekayaan flora dan fauna,” katanya.

    Bercerita lanjut, Ahmad Azaruddin berkata Paya Burung yang berkeluasan lapan hektar itu menjadi habitat serta persinggahan pelbagai jenis burung disebabkan kepelbagaian sumber makanan yang banyak selain kawasan hijau yang sentiasa bersih dengan persekitaran lembap.

    Menurutnya, dengan kerjasama pemain sektor pelancongan, aktiviti mencerap burung boleh dijadikan sebagai antara tarikan utama ekopelancongan.

    “Jika sebut pasal ekopelancongan, kami tidak mahu pengunjung hanya menikmati keindahan alam sahaja di tempat-tempat tarikan pelancong, kesedaran mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti menerusi kerjasama dengan badan bukan kerajaan dan penduduk kampung juga sangat penting.

    “Misalnya, kita boleh libatkan komuniti setempat untuk mainkan peranan sebagai pemandu pelancong dalam aktiviti cerap burung. Usaha ini sekali gus mengajak komuniti setempat untuk bersama-sama terlibat dalam pemuliharaan alam dan ekopelancongan,” katanya.

    Hargai hutan, haiwan liar

    Sementara itu, Penyelidik Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar FRIM, Norsham Yaakob berkata aktiviti cerap burung boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuk seisi keluarga.

    “Selalunya orang ingat bird-watching ini satu aktiviti yang sangat boring dan ‘geeky’ tapi sebenarnya kegiatan ini sangat ‘rewarding’, menggabungkan aspek pengembaraan dan penemuan baharu serta keseronokan menikmati keindahan landskap.

    “Aktiviti ini sesuai dilakukan oleh seisi keluarga, khususnya untuk melatih kanak-kanak menghargai haiwan liar dan keindahan alam sebelum fauna dan flora hilang dek pembangunan suatu hari nanti.

    “Beri peluang kepada anak-anak di rumah untuk menerokai alam, alami sendiri keindahan biodiversiti dan dekatkanlah mereka dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mendidik mereka untuk lebih menghargai keindahan itu sementara masih ada.

    “Ini kerana kita tidak tahu mungkin selepas 10 tahun, hutan itu ada lagi ke tidak, ataupun sudah dimusnahkan oleh pembangunan. Oleh itu, didikan sejak kecil adalah penting bagi memupuk kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar,” saran beliau.

    Tip untuk newbie

    Bagi yang ingin berjinak-jinak dalam aktiviti ini, anda boleh mencuba tip yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (ECOMY), Andrew Sebastian.

    “Pertama sekali dapatkan sebuah binokular berkualiti. Tidak perlu yang mahal, malah yang asas sahaja pun sudah memadai, dan minat…pastinya kena ada minat,” katanya ketika dihubungi.

    Bagi memastikan keselesaan, beliau turut menyarankan pakaian yang sesuai dikenakan sebelum keluar melakukan aktiviti tersebut, termasuk kasut untuk hiking.

    “Untuk mengenali jenis burung, anda boleh beli buku tentang burung, tumbuhan dan hidupan liar selain gunakan aplikasi eBird,” kongsi beliau, menambah carian Internet juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan itu.

    Menurutnya, terdapat 873 spesies burung yang dikenal pasti di Malaysia dengan 91 merupakan spesies endemik (hanya boleh ditemukan di wilayah tertentu) atau hampir endemik (hampir keseluruhan populasi ditemukan di wilayah tertentu) yang direkodkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

    “Malaysia juga terletak di laluan migrasi burung, iaitu di tengah-tengah rantau Australiasia Timur (merangkumi Australia, New Zealand serta kepulauan berjiran) dan menerima persinggahan kira-kira 250 jenis burung hijrah saban tahun antara September dan Mac.

    “Antara kawasan utama untuk aktiviti cerap burung ialah Kuala Selangor, Royal Belum, Taman Negara Kuala Tahan, Bukit Fraser serta Taman Negara Bako di Sarawak dan Kinabatangan di Sabah,” katanya. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...