MOUNT VERNON – George Washington tidak pernah menebang pokok ceri, meskipun cerita yang terkenal mengisahkan sebaliknya, tetapi dia menyimpan beberapa botol buah itu di rumahnya di Mount Vernon.
Puluhan botol buah ceri dan beri – yang mustahil terpelihara ditemui dalam lubang simpanan dari bilik bawah tanah rumah agamnya di tebing Sungai Potomac – ditemui semasa penggalian arkeologi yang disambungkan dengan projek pemulihan.
Jason Boroughs, ahli arkeologi utama Mount Vernon, berkata penemuan begitu banyak makanan yang terpelihara dengan sempurna dari lebih 250 tahun lalu itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Menemukan apa yang pada dasarnya buah segar, 250 tahun kemudian, adalah sangat menakjubkan,” kata Boroughs dalam satu temu bual. “Nasib yang sangat bertuah untuk menemukannya.”
Buah-buahan, yang dikenal pasti sebagai ceri, ditemui dalam beberapa botol. Botol-botol lain mengandungi apa yang kelihatan seperti gooseberry atau currant, sungguhpun ujian sedang dijalankan untuk mengesahkannya.
Mount Vernon bekerjasama dengan Jabatan Pertanian AS, yang menjalankan ujian DNA pada buah-buahan tersebut. Mereka juga sedang memeriksa lebih daripada 50 biji ceri yang ditemui daripada botol-botol berkenaan untuk melihat sama ada mana-mana daripadanya boleh ditanam.
“Peluangnya adalah tipis tetapi berbaloi dicuba,” kata Benjamin Gutierrez, ahli genetik tumbuhan USDA, mengenai peluang menggunakan biji-biji ceri itu untuk menanam pokok.
Benih akan terpelihara dengan baik apabila ia kering, dan kebanyakan sampel yang ditemui di Mount Vernon itu dibasahi air. Beberapa biji terawal yang telah diuji tidak dapat dijadikan benih.
Bagaimanapun, katanya botol-botol berkenaan adalah penemuan yang luar biasa. Selain ujian DNA, dia berkata ujian kimia mungkin dapat menunjukkan sama ada rempah tertentu digunakan untuk mengawet buah-buahan itu.
Rekod di Mount Vernon menunjukkan bahawa George dan Martha Washington menyukai ceri, sekurang-kurangnya apabila ia dicampur dengan minuman keras. Resipi Martha Washington untuk koktel “cherry bounce” kekal hingga ke hari ini, dan Washington menulis bahawa dia membawa botol kantin mengandungi cherry bounce bersamanya dalam perjalanan merentasi Alleghenies pada tahun 1784.
Ceri-ceri ini, bagaimanapun, kemungkinan besar dibotolkan untuk dimakan hanya sebagai ceri, kata Boroughs.
Kualiti pengawetan mencerminkan kerja yang berkaliber tinggi. Hamba-hamba mengusahakan dapur ladang. Dapur itu diawasi oleh seorang hamba wanita bernama Doll, yang datang ke Mount Vernon pada tahun 1758 bersama Martha Washington, menurut estet itu.
“Orang-orang yang diperhambakan yang menjaga pokok, memetik buah, bekerja di dapur, mungkin mereka adalah orang mengawasi dan melakukan proses ini,” kata Boroughs. “Ia adalah proses yang penuh kemahiran. Jika tidak, ia tidak akan bertahan sebegini.”
Botol-botol berkenaan hanya ditemui kerana Mount Vernon sedang melakukan projek pemulihan rumah agam bernilai A$40 juta itu yang mereka jangka akan siap menjelang ulang tahun ke-250 negara pada 2026.
“Apabila kita melakukan kerja arkeologi, ia merosakkan,” kata Boroughs. “Jadi melainkan kami mempunyai sebab untuk mengganggu sumber tersebut, kami cenderung untuk tidak melakukannya.”
“Dalam kes ini, kerana pembaikan struktur rumah agam ini diperlukan, tanah akan terganggu. Jadi kami cari di sana dahulu,” sambungnya. “Kami tidak menjangka akan menemui semua ini.”
Mereka tahu usia botol-botol itu bertarikh sebelum 1775 kerana ketika itulah pembesaran rumah agam itu dilakukan menyebabkan kawasan itu ditutup dengan lantai bata.
Mount Vernon mengumumkan pada bulan April lalu, ketika kerja-kerja arkeologi dimulakan, bahawa ia telah menemui dua botol. Semasa penggalian diteruskan, bilangannya meningkat kepada 35 dalam enam lubang simpanan yang berbeza.
Enam daripada botol itu telah pecah, dengan 29 lagi masih utuh. Manakala, 12 daripadanya mengandungi ceri, 16 lagi mengandungi beri yang lain dipercayai currant dan gooseberry, dan satu botol lebih besar memuatkan kedua-dua buah ceri dan buah beri yang lain. Boroughs percaya mereka kini telah menemui semua buah ceri dan beri yang terselamat.
“Banyak maklumat yang kami teruja untuk dapatkan daripada botol-botol ini,” katanya. – AP