Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Bagi menceriakan para pelajar dan tenaga pengajar Pusat Bahagia, para kakitangan dari Kedutaan Republik Turki di negara ini bersama kakitangan QAF Auto Sdn Bhd, telah mengadakan kegiatan amal di Pusat Bahagia, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Aktiviti amal yang melibatkan kegiatan melukis dan mengecat kelas-kelas dan bilik pembelajaran di pusat berkenaan itu adalah bertujuan untuk memberi kegembiraan kepada para pelajar dan guru-guru di pusat berkenaan.
Menurut Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Sivakumar Krishnan, beliau berkata, “meskipun ia kelihatan biasa namun manfaatnya adalah sangat besar sekali kepada mereka semua.”
Sementara itu, menurut Duta Besar Republik Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mehmet Suat Akgun, beliau berkata aktiviti tersebut menunjukkan kerjasama yang baik di antara agensi kerajaan, perwakilan di sektor swasta dan juga masyarakat awam.
Acara berkebajikan berkenaan diakhiri dengan penyampaian hadiah daripada Kedutaan Republik Turki di negara ini kepada wakil Pusat Bahagia, disusuli dengan sesi bergambar ramai.

