Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cermin diri sebelum perlekeh orang – Che Ta

    Pengalaman menjadi mangsa kecaman warganet membuatkan pelakon dan usahawan popular, Rozita Che Wan, 51, memahami perasaan individu yang pernah berdepan dengan situasi yang amat mengganggu emosi itu.

    Justeru, apabila suaminya, Zain Saidin tampil mempertahankan Liyana Jasmay yang menjadi mangsa face shaming disebabkan keberanian mempamerkan wajah tanpa secalit mekap yang tular dalam media sosial, baru-baru ini, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta memuji tindakan Zain.

    Berkongsi pandangan sama dengan suaminya itu, Che Ta berkata, warganet yang gemar memperlekehkan golongan artis sepatutnya perlu melihat diri sendiri terlebih dahulu sebelum sesuka hati mencemuh orang lain.

    “Saya rasa tindakan Zain membela Liyana itu sangat bagus. Warganet mengata Liyana tak adalah cantik mana pun. Pandai mengata orang, tapi tak nak tengok cermin.

    “Sebagai artis, kadang-kadang dia nak jadi diri sendiri. Mungkin dia malas dan penat nak bersiap dan mahu nikmati momen seperti itu bersama keluarga.

    “Liyana masih muda dan kebetulan juga wanita yang ‘sempoi’, jadi tak adalah nak bersiap sangat. Setiap orang ada hak dan mempunyai keinginan berbeza,” katanya kepada BH Online.

    Ditanya adakah dengan kenyataan Zain itu memberi keyakinan kepadanya tampil berwajah polos dalam media sosial, pelakon Kiah Pekasam itu pantas menyatakan dia bukanlah orang seperti itu.

    “Setiap orang ada cita rasa sendiri dan saya memang sudah terbiasa bersiap sejak sebelum jadi artis lagi. Duduk rumah pun saya akan bersiap.

    “Kadang-kadang pergi ambil kad laporan anak di sekolah pun saya pakai kanta pelekap,” ujar Che Ta yang terkenal dengan imej bulu mata palsu ini. – Agensi

    Sudah menjadi kebiasaan Che Ta tampil berdandan meski di rumah. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda