Penyanyi Zizi Kirana, 34, berdepan detik mencemaskan apabila cermin depan sebelah kiri kereta dinaiki bersama rakannya ‘retak seribu’ akibat terkena batu di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Hentian Rehat Seremban, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Zizi bersama rakannya yang memandu kereta jenis Volkswagen Golf miliknya itu dalam perjalanan ke Johor Bahru.
“Kejadian itu sangat pantas hinggakan saya tak terkata. Mujur cermin tidak pecah dan terkena saya yang duduk di kerusi sebelah pemandu. Kebetulan ketika itu memang banyak lori. Dalam masa sama, ada kereta dipandu laju. Mungkin kereta itu terlanggar batu hingga terkena cermin kereta saya. Saya agak ia batu besar kerana habis cermin retak. Nak tak nak kena ganti juga. Tak pasal-pasal duit terbang lagi,” katanya.
Zizi berkata, mereka terpaksa singgah di Melaka untuk menukar cermin baharu. “Ini kejadian pertama seumpamanya untuk saya. Saya anggap ia insiden tidak disengajakan. Bagaimanapun, pesan saya kalau boleh jangan bawa laju terutama apabila ada banyak lori. Insiden seperti ini memang tidak boleh dijangka. Cermin retak atau pecah mungkin boleh tukar, tapi kalau disebabkan kelalaian itu hingga boleh meragut nyawa, siapa harus dipersalahkan?” katanya. – Agensi
