LONDON, 29 NOV – Sepasang cermin mata berbentuk bulat yang sering digayakan John Lennon akan dilelong bersama sekeping tiket letak kereta milik pemain dram kumpulan The Beatles, Ringo Starr, selepas sekian lama disimpan oleh bekas pemandu kumpulan berkenaan.
Alan Herring, pemandu kepada Starr dan rakan sekumpulan, George Harrison pada akhir 60an berkata Lennon memberinya cermin mata itu selepas ia tertinggal di bahagian tempat duduk belakang kereta Mercedes yang dinaikinya.
“Apabila John keluar dari kereta, saya dapati beliau tertinggal cermin mata itu di tempat duduk belakang manakala sebelah tangkai dan cerminnya turut tercabut.
“Saya bertanya jika beliau mahu saya menghantar cermin mata itu untuk dibaiki dan diberitahu, ia hanya sebahagian daripada aksesori,” katanya.
Cermin mata vintaj dan tiket letak kereta yang dikeluarkan pada 25 April 1969 di London itu akan dijual di internet oleh Sotheby, bersama beberapa barangan kenangan Beatles yang lain, pada 6 hingga 13 Disember depan.
Menurut Herring, keputusan menjual barangan itu dibuat dengan berat hati namun kenangan yang tinggal sepanjang berkhidmat untuk kumpulan legenda itu lebih bermakna.
Tiket berlipat berwarna coklat dan bernilai 2 pound itu dijangka boleh dilelong sehingga 1,500 pound manakala cermin mata berkenaan yang tidak pernah dibaiki dijangka menghasilkan pulangan sebanyak 8,000 pound.
Antara yang bakal dilelong adalah pemetik api disimpan dalam kereta milik Herring, baju kemeja-t dipakai oleh Fab Four dan gitar kepunyaan Harrison dengan nilai dijangka mencecah 60,000 pound. – AFP