Tuesday, November 19, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceroboh Istana Windsor, perompak curi kenderaan diraja

    LONDON, 18 NOV – Polis United Kingdom hari ini berkata, mereka sedang menyiasat kejadian pecah masuk yang berlaku bulan lalu di kawasan Windsor Estate, dilaporkan ketika Putera William dan keluarganya berada di kediaman mereka.

    Polis Lembah Thames mengesahkan bahawa perompak telah mencuri dua kenderaan dari sebuah bangunan ladang di kawasan tersebut, yang terletak di barat London, pada 13 Oktober lalu. Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

    “Sekitar pukul 11:45 malam pada Ahad, 13 Oktober, kami menerima laporan mengenai kejadian pecah masuk di sebuah kawasan hartanah Crown Estate berhampiran A308 di Windsor,” kata pihak polis dalam satu kenyataan, merujuk kepada kawasan Istana Windsor.

    “Penceroboh memasuki sebuah bangunan ladang dan mencuri sebuah trak pikap Isuzu berwarna hitam serta sebuah motosikal quad berwarna merah.

    “Mereka kemudiannya melarikan diri ke kawasan Old Windsor/Datchet. Tiada tangkapan yang dibuat setakat ini dan siasatan sedang dijalankan,” jelasnya.

    Tabloid The Sun, yang pertama melaporkan kejadian tersebut, mendakwa ‘perompak bertopeng’ itu bertindak ketika William, Puteri Wales, Catherine, dan anakanda-anakanda mereka sedang tidur di kediaman mereka yang terletak berhampiran.

    Laporan tersebut juga menyatakan bahawa pegawai polis bersenjata dari unit perlindungan diplomatik Polis Metropolitan telah dipindahkan dari dua pintu utama Windsor Estate.

    Kejadian itu berlaku ketika pihak berkuasa sedang berdepan kekurangan pegawai bersenjata, dengan lebih sedikit calon yang mendaftar, menurut laporan tabloid itu. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda