Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cetus landskap maritim mencabar

    BANGKOK, 17 NOV – Peningkatan pengaruh kuasa besar di Laut China Selatan menimbulkan landskap maritim yang mencabar di samping memberi kesan yang cukup ketara kepada rantau itu, kata Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu.

    Beliau berkata Malaysia bertegas bahawa Laut China Selatan perlu kekal bebas, terbuka dan boleh dilalui secara komersil tanpa sebarang kebimbangan ketenteraan atau permusuhan.

    “Malaysia berpegang teguh dengan pendirian negara-negara ASEAN untuk melaksanakan secara berkesan dan sepenuhnya deklarasi berhubung tindak tanduk pelbagai pihak di Laut China Selatan (DoC), termasuk menerusi langkah-langkah pembinaan keyakinan, inisiatif, dan kod tatalaku biasa di ruang maritim bagi menggalakkan keamanan dan kestabilan,” katanya pada sesi permukiman Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN ke-13 di sini hari ini.

    Sesi permukiman itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan, yang juga bertanggungjawab mengenai hal ehwal keselamatan Thailand.

    Ogos lepas Menteri Luar China Wang Yi berkata ASEAN dan Beijing telah menamatkan bacaan pertama satu draf rundingan teks kod tatalaku, dan menurutnya ia adalah perkembangan yang penting dalam rundingan kod tatalaku, dan menjadi langkah kritikal ke arah matlamat menyiapkan rundingan dalam tempoh tiga tahun.

    Sementara itu Mohamad turut membangkitkan kebimbangan Malaysia mengenai krisis Rohingya di Wilayah Rakhine.

    Beliau berkata Myanmar seharusnya menangani krisis kehakiman Rohingya bagi mengelak orang awam melarikan diri ke negara jiran, termasuk Malaysia, dan ia boleh memberi kesan terhadap keselamatan di rantau ini.

    “Keadaan tidak tenteram kaum Rohingya di Myanmar dan Bangladesh akan menyebabkan mereka berpaling dan menyertai ideologi ekstremisme. Ini memberikan kesan buruk kepada keselamatan dan kestabilan rantau ini,” katanya.

    “Malaysia yakin dengan bidang-bidang berpotensi untuk kerjasama yang dikenal pasti oleh Pusat AHA yang boleh disokong seterusnya oleh ASEAN dan negara-negara sekutunya,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda