PARIS – Puluhan tradisi global menjadi calon untuk dimasukkan sebagai warisan global tidak ketara oleh UNESCO minggu ini, merangkumi nyanyian opera Itali dan seni beca Bangladesh hingga ke hidangan Peru yang dikenali sebagai ceviche.
Jawatankuasa Warisan Budaya Tidak Ketara bagi agensi kebudayaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu dijangka akan meneliti dan meluluskan 55 pencalonan secara keseluruhan semasa mesyuarat di bandar Kasane, Botswana.
Antara pencalonan tersebut termasuk usaha dari Itali untuk memasukkan nyanyian opera, seni yang ‘dipindahkan hanya secara lisan’ antara maestro dan murid yang menarik ramai pelajar dari luar negara.
Bangladesh berharap untuk menyertakan seni melukis beca beroda tiga yang melintasi jalan raya ibu kotanya, menyumbang kepada ‘pameran lukisan bergerak’ yang merupakan ‘lambang kehidupan bandar di Dhaka’.
Sementara itu, Switzerland cuba menyertakan usaha badan bukan kerajaan, OPPAL yang mempertahankan biodiversiti dan menggalakkan penubuhan kehidupan bersama secara aman antara hidupan liar dan aktiviti manusia.






Peru telah mengemukakan ‘penyediaan dan pengambilan ceviche’, hidangan tradisional ikan mentah yang diperap dalam lemon dan diperisakan dengan cili, lada hitam dan garam, yang resipinya ‘diwarisi dari generasi ke generasi’.
Azerbaijan, Iran, Uzbekistan dan Turkiye bersama-sama mengusulkan iftar, hidangan yang dikongsi oleh umat Islam pada penghujung hari semasa puasa pada bulan Ramadan dan tradisinya untuk diiktiraf.
Pemohon lain termasuk ‘kemahiran tradisional menenun cawat’ di Ivory Coast, serta bolero iaitu ‘identiti, emosi dan puisi yang digubah menjadi lagu’, dari Cuba dan Mexico.
Konvensyen UNESCO untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara dan senarainya telah diterima pakai pada tahun 2003, kemudian disahkan oleh 30 negara anggota pada tahun 2006.
Pada awalnya, terdapat keengganan dari beberapa negara yang takut bahawa negara-negara tertentu akan cuba untuk menguasai tradisi bersama bagi diri mereka sendiri, kata Pengarah Eksekutif UNESCO untuk Budaya, Ernesto Ottone.
Tetapi 20 tahun kemudian kemudian, 181 negara telah menyokong dan banyak negara yang sebaliknya mengemukakan petisyen bersama untuk tradisi yang mereka kongsi.
Oleh itu, seba-nyak 16 buah negara berbahasa Arab itu bersatu untuk menyenaraikan ‘kaligrafi Arab’ pada tahun 2021, manakala 24 negara lain dari Austria hingga Emiriah Arab Bersatu menyenaraikan ‘berburu dengan helang’ pada tahun yang sama.
BANTU LINDUNG TRADISI KIAN PUPUS
Senarai 676 tradisi itu termasuk beberapa tradisi yang terkenal di dunia seperti piza Neapolitan, capoeira Brazil dan flamenco Sepanyol.
Tetapi agensi PBB itu berkata ia juga telah membantu melindungi tradisi yang semakin pupus.
Selepas Belgium berjaya mendapat pengiktirafan untuk ‘memancing udang di atas kuda’, amalan itu di bandar Laut Utara Oostduinkerke telah menarik lebih ramai pengikut.
Walaupun hanya 17 orang menangkap udang dengan cara ini pada tahun 2013, kata Ottone, kini 200 orang menunggang kuda ke dalam ombak pada masa yang sesuai setiap tahun, sambil mengheret jaring udang di belakang mereka.
Indonesia mengatakan bahawa penyertaan noken beg bersimpul atau tenunan yang dibuat oleh orang Papua untuk membawa barangan harian dan juga menggantikan pukat dalam senarai UNESCO, memberikan ‘insentif yang kuat’ untuk mengekalkan kraf tangan tersebut dengan lebih baik.
Venezuela mengatakan bahawa perlindungan identiti dan pandangan dunia masyarakat Mapoyo telah mendapat momentum sejak tradisi lisan mereka dimasukkan ke dalam senarai pada 2014.
Tradisi yang perlu dijaga tahun ini termasuk peniupan kaca tradisional Syria, penanaman zaitun Turkiye dan Mek Mulung, seni persembahan lelaki dari Malaysia. – AFP

