Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Pesta Pengguna ke-25 (CF-25) yang berlangsung selama lima hari bermula 26 Mei hingga 30 Mei di Dewan 1 dan 2, Bridex, Jerudong, menutup tirainya kelmarin.
Sama seperti edisi terdahulunya, pesta pengguna kali ini juga membawa cerita naratif watak-watak kartun berasaskan sebuah keluarga tempatan yang mengetengahkan lawak
jenaka keluarga menghadiri pesta berkenaan.
Semasa pesta lima hari itu, jawatankuasa penganjur siri pesta pengguna menyediakan pelbagai aktiviti termasuk Edisi Tempatan di mana para pengunjung berpeluang untuk mengambil bahagian dan merasakan sendiri aktiviti-aktiviti tradisional tempatan termasuk menenun kain, membuat ambuyat, membuat wajid dan banyak lagi.
Selain daripada itu, acara Cabutan Bertuah Utama bagi CF-25 juga diadakan pada majlis penutup CF-25 di mana seramai 50 orang peserta yang disenarai pendekkan daripada acara lima hari itu, menyertai acara cabutan bertuah utama.
Daripada 50 orang peserta berkenaan, seramai 25 orang pengunjung bertuah membawa pulang hadiah-hadiah menarik yang disampaikan oleh Pengarah Urusan D’Sunlit Sdn Bhd, Jackson Ting; Pengurus Operasi D’Sunlit Sdn Bhd, Ngu Ting Siiang; Ketua Jabatan Hubungan Jualan, Mike Chia dan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Gavin Chai serta ahli-ahli jawatankuasa utama.
Pada majlis berkenaan, hadiah utama berupa wang tunai $2,500 telah dimenangi oleh Awang Mohd Kha’irul Yashdeey Haji Awang Damit, manakala hadiah kedua berupa set sofa dimenangi oleh Awang Nasrun Nizam dan hadiah ketiga berupa iPhone 12 dimenangi oleh Javiera Yong.
Interhouse Company juga menaja sebuah Canon EOSM bagi acara cabutan bertuah pesta pengguna manakala hadiah-hadiah lain ditaja oleh D’Sunlit Sdn Bhd termasuk perabot rumah, telefon mudah alih, barangan dapur, hamper dan baucar.
CF-25 merupakan sebuah hab bagi pengunjung untuk menyaksikan pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai pengusaha serta pada masa yang sama berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti menarik.
