Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Dayang Normah binti Haji Mataram menjadi pengunjung bertuah Pesta Pengguna ke-29 (CF29) yang membawa pulang kereta Toyota Vois pada cabutan bertuah terakhir pesta berkenaan, malam ini.
Kunci kereta tajaan NBT Brunei itu telah diserahkan oleh Pengarah Urusan NBT Brunei Sdn Bhd, Emily Chua pada hari terakhir CF29 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Dayang Normah semasa ditemu bual berkata bahawa beliau tidak menyangka akan menang dan melahirkan rasa syukur serta berterima kasih kepada NBT Brunei atas hadiah yang dimenangi dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada D’Sunlit Sdn Bhd kerana menganjur acara kegemaran rakyat Brunei berkenaan pada setiap tahun.
Sementara itu, Dayang Suhara binti Haji Japar memenangi hadiah kedua berupa kerusi urut sumbangan Gintell yang disampaikan oleh wakil Gintell dan Dayang Tinah binti Budin pula memenangi hadiah ketiga berupa penapis air Cuckoo.
Manakala itu, 27 orang pemenang lainnya turut membawa pulang hadiah-hadiah menarik sumbangan beberapa buah syarikat yang terlibat.
Sepanjang pameran itu, lebih 100,000 orang ramai berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan setiap pembelian barangan CF29 yang membawa tema Kembali dari Masa Depan.
Menurut D’Sunlit Sdn Bhd selaku penganjur acara berkenaan, CF29 telah menjadi hab rangkaian yang luas untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan dari dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, D’Sunlit mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang tahun dan juga rakan kongsi serta peserta dalam sama-sama menjayakan Pesta Pengguna tahun ini.