CYBERJAYA, 31 Mei – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menyokong usaha kerajaan bagi mewujudkan sistem jalur lebar dengan kelajuan dua kali lebih pantas pada separuh harga.
Bagi Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff, ini merupakan berita baik untuk pengguna kerana internet bukan lagi kemewahan tetapi keperluan di era moden ini.
Setakat tahun 2017, jumlah pengguna internet ialah sebanyak 24.5 juta dan kebanyakan isi rumah melanggan internet bagi kegunaan harian mereka. Walau bagaimanapun, harga yang ditawarkan agak tinggi dan membebankan. Contohnya, harga internet fiber buat masa ini adalah lebih daripada RM100 sebulan.
Namun, disebabkan penggunaan internet adalah amat penting bagi memenuhi kehendak digital pada hari ini, pengguna terpaksa melanggan untuk menggunakannya walaupun kosnya agak membebankan.
“Inisiatif kerajaan untuk mengurangkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar boleh dikira sebagai kejayaan yang membanggakan. Infrastruktur telah dibina dan diguna pakai oleh pengguna walaupun di luar bandar.
Dengan cara menaik taraf dan mengoptimumkan infrastruktur yang sedia ada, pihak penyedia perkhidmatan seharusnya boleh menurunkan harga dan meningkatkan kualiti liputan bagi servis mereka,” kata Mohamad Yusrizal. – Bernama