Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    CFMM bincang kemapanan fiskal

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiksal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Komanwel (CFMM) yang berlangsung secara maya kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, turut hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Dasar dan Fiskal), Hajah Norliah binti Haji Kula dan pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Menteri bagi Kewangan, Urus Tadbir Korporat dan Kerjasama Swasta-Awam, Antigua and Barbuda, Tuan Yang Terutama Gaston Browne dan dihadiri oleh Setiausaha Agung Komanwel, Rt Hon Patricia Scotland QC, menteri-menteri kewangan dan wakil dari negara-negara Komanwel.

    Mesyuarat itu membincangkan mengenai pemulihan ekonomi dan kemapanan hutang, pendedahan iklim dan debt swap serta perjanjian cukai minimum global dan implikasi ke atas negara-negara Komanwel.

    Kenyataan menyatakan bahawa menyumbang kepada perbincangan mengenai dengan pemulihan ekonomi dan kemapanan, Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin berkongsi pandangan bahawa mengukuhkan kemapanan fiskal adalah satu objektif yang penting terutamanya apabila pemulihan global masih lagi rapuh.

    Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin yang mengetuai Delegasi Negara Brunei Darussalam menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Komanwel (CFMM) yang berlangsung secara maya pada 12 Oktober. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

    Dalam hubungan itu, jelasnya, cadangan Sekretariat Komanwel untuk membangunkan satu alat bagi analisis kemapanan hutang amat dihargai dan ia selaras dengan peralatan yang sedia ada serta akan menyediakan platform yang baik untuk membantu negara-negara anggota dalam menilai kemapanan hutang mereka.

    Beliau mengongsi bahawa peranan teknologi adalah penting dalam usaha untuk meningkatkan kemapanan fiskal dalam membangun daya tahan jangka panjang dan untuk mengurangkan kesan teruk daripada kejutan masa hadapan.

    Dalam konteks ruang fiskal, teknologi dapat membantu memperbaiki perancangan perbelanjaan masa hadapan dalam bidang-bidang yang akan memberikan kesan terbesar kepada pembangunan dan sosioekonomi.

    Dengan melakukan perkara itu, lebih banyak sumber yang terhad dapat diperuntukkan kepada pelaburan-pelaburan produktif yang akan terus mengukuhkan usaha pemulihan keseluruhan.

    Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin turut berkongsi, di peringkat serantau, respons ASEAN yang holistik dan bersepadu ke arah pemulihan adalah berpandukan kepada Rangkakerja Pemulihan Komprehensif ASEAN.

    Rangka kerja itu menetapkan beberapa inisiatif yang merentas sektor yang berlainan dengan matlamat untuk memastikan pemulihan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2025.

    Beliau turut berkongsi bahawa vaksinasi adalah amat penting dalam mempercepatkan pemulihan dan oleh itu, menyediakan akses yang saksama kepada vaksin COVID-19 yang mampu dimiliki, selamat dan berkualiti adalah amat mustahak dalam usaha melawan pandemik itu.

    Kenyataan menyatakan bahawa Bangladesh akan mengambil alih peranan pengerusi CFMM 2022.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda