Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    CFO Spotify letak jawatan tahun depan

    NEW YORK, 10 DIS – Ketua pegawai kewangan (CFO) Spotify akan meletak jawatan tahun depan, menurut perkhidmatan penstriman muzik, hanya beberapa hari selepas ia mengumumkan pemberhentian pekerja pusingan ketiga untuk 2023.

    Dalam satu kenyataan yang mengumumkan pemergian CFO Paul Vogel, Ketua Pegawai Eksekutif, Daniel Ek berkata bahawa kedua-duanya telah ‘membuat kesimpulan bahawa Spotify sedang memasuki fasa baharu dan memerlukan CFO dengan gabungan pengalaman yang berbeza’.

    Spotify berkata minggu ini ia akan memecat 17 peratus daripada tenaga kerja globalnya, untuk mengurangkan kos dan meraih semula keuntungan. Kira-kira 1,500 orang akan kehilangan pekerjaan, jurucakap syarikat mengesahkan.

    Tidak lama selepas pemberhentian diumumkan pada Isnin lalu, saham Spotify melonjak kira-kira 8 peratus. Pada Selasa lalu, Vogel menjual saham bernilai lebih daripada AS$9.3 juta, menurut fail sekuriti.

    Dua lagi eksekutif kanan turut mengaut keuntungan berupa saham bernilai lebih AS$1.6 juta, lapor The Guardian.

    The Associated Press menghubungi Spotify untuk mendapatkan ulasan lanjut pada Jumaat lalu.

    Vogel akan meninggalkan Spotify pada 31 Mac. Ben Kung, yang kini berkhidmat sebagai naib presiden perancangan dan analisis kewangan, ‘akan memikul tanggungjawab yang besar’ ketika Spotify mencari pengganti, kata syarikat. – AP

    Ketua pegawai kewangan Spotify, Paul Vogel, akan keluar tahun depan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda