Tuesday, April 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chacha Trisha bukan jenis lemah lembut,

    Memiliki perwatakan seperti lelaki membuatkan pendatang baharu Chacha Trisha menjadikan penyanyi Ara Johari sebagai idola dalam industri muzik tempatan.

    Chacha atau Danisha Batrisha Mohd Farid, 17, berkata, ramai memberitahu dia mempunyai persamaan dengan Ara kerana karakter boyish yang dimiliki.

    “Saya minat Ara Johari sebab ramai cakap kami ada persamaan .Apatah lagi, saya memang seorang yang lasak.

    “Saya boyish, bukan jenis gadis lemah lembut. Ditambah, saya juga suka genre muzik pop,” katanya kepada mStar.

    Chacha berkongsi perkara itu ketika ditemui di Raya Media Gathering by Suria Records yang diadakan di Suria Records Lab, Cheras Perdana, Kuala Lumpur pada Khamis.

    Dalam pada itu, Chacha memberitahu dia sudah mula menunjukkan minat dalam bidang nyanyian seawal usia 9 tahun.

    Ujarnya, minat menyanyi dimiliki tidak penah dihalang oleh ibu bapa sebaliknya mendapat sokongan penuh daripada kedua orang tuanya.

    “Ibu bapa saya tak halang pun minat jadi penyanyi ini. Ketika saya berusia sembilan tahun, mereka sudah cabar saya untuk menyanyi depan ramai orang dengan bawa saya ke Pavillion.

    “Saya menyanyi sajalah dan dari situ, memang nampak minat serta bakat saya. Alhamdulillah, sekarang saya pun dah ada lagu sendiri, Warna Hati ciptaan Ary Klangit,” ujarnya.

    Ditanya tentang lagu Warna Hati yang lebih dikenali berbanding dirinya sendiri, Chacha menepis dakwaan tersebut sebaliknya selalu menerima permintaan pengikut di TikTok untuk menyanyikan lagu berkenaan.

    “Saya tak fikir yang lagu Warna Hati saja lebih popular dan dikenali (pendengar) sebab bila buat ‘live’ di TikTok, ramai yang minta saya ‘belanja’ (nyanyi) lagu itu. Saya pun layankan.

    “Cuma, memandangkan tahun ini saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mungkin perlu perlahankan juga aktiviti nyanyian seketika selepas ini,” ujarnya. – Agensi

    Chacha popular menerusi lagu Warna Hati. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda