SINGAPURA, 22 JULAI – Lapangan Terbang Changi Singapura mencatat 17.5 juta pergerakan penumpang bagi suku kedua tahun ini (Q2 2025), mewakili peningkatan 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) dalam satu kenyataan hari ini berkata lima pasaran utama bagi lapangan terbang itu sepanjang suku itu ialah China, Indonesia, Malaysia, Australia dan India.
“Pergerakan penumpang antara Singapura dengan dua pasaran utamanya – China dan Indonesia – mencatat pertumbuhan tertinggi dalam tempoh ini, masing-masing melepasi paras 2024 dengan peningkatan 15.8 peratus dan 12 peratus,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, Changi turut merekodkan jumlah kargo udara sebanyak 516,000 tan metrik bagi Q2 2025, meningkat 6.2 peratus berbanding suku kedua 2024.
Pertumbuhan direkodkan dalam semua kategori aliran kargo, dengan import mencatat prestasi paling kukuh, meningkat lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
CAG memaklumkan bahawa lima pasaran utama bagi kargo udara sepanjang suku itu ialah China, Amerika Syarikat, Hong Kong, Australia dan India.
Naib Presiden Eksekutif CAG untuk Hab Udara dan Pembangunan Kargo, Lim Ching Kiat berkata Changi terus menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan dalam pergerakan penumpang pada suku ini, didorong permintaan yang kukuh merentasi pasaran utama.
“Bersama rakan kongsi syarikat penerbangan kami, kami komited untuk memperluaskan lagi sambungan destinasi bagi menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan yang menarik kepada penumpang,” katanya.
Setakat 1 Julai, kira-kira 100 syarikat penerbangan beroperasi di Changi dengan lebih 7,200 penerbangan berjadual setiap minggu, menghubungkan Singapura ke sekitar 170 bandar di 50 negara dan wilayah di seluruh dunia. – Bernama
