HANGZHOU, 28 JAN – Syarikat permulaan China, DeepSeek, yang mencetuskan kebimbangan di Wall Street menerusi chatbot yang canggih, dibangunkan dengan kos jauh lebih rendah berbanding pesaingnya, diasaskan oleh seorang pakar dana lindung nilai yang percaya kecerdasan buatan (AI) mampu mengubah dunia.
Berpusat di Hangzhou, sebuah bandar di timur China yang sering digelar sebagai Silicon Valley China, DeepSeek muncul tanpa diduga untuk melancarkan produk berteknologi tinggi. Namun, di China, syarikat itu telah mencipta nama, malah digelar sebagai Pinduoduo AI pada tahun lalu – merujuk kepada aplikasi membeli-belah popular yang berjaya menyaingi syarikat gergasi seperti Alibaba dengan strategi harga rendahnya.
DeepSeek menerima pujian atas keberkesanan kosnya dan di China, ia juga dipuji kerana keupayaannya mengatasi sekatan Amerika Syarikat yang bertujuan menghalang akses kepada cip berteknologi tinggi yang diperlukan untuk revolusi AI.
AFP melawat pejabat syarikat tersebut di Hangzhou dan ibu negara Beijing hari ini, namun kedua-dua pejabat dilihat ditutup untuk sambutan Tahun Baharu Cina.
Syarikat itu diasaskan oleh Liang Wenfeng, seorang prodigi dalam bidang teknologi dan perniagaan, yang dilahirkan pada tahun 1985. Liang merupakan graduan kejuruteraan dari Universiti Zhejiang yang berprestij di Hangzhou. Dalam wawancaranya, Liang menyatakan bahawa beliau yakin ‘kecerdasan buatan mampu mengubah dunia.’
Liang menghabiskan bertahun-tahun mencari cara untuk menerapkan AI dalam pelbagai bidang, menurut wawancaranya dengan platform berita pelaburan China, Waves, tahun lalu. Namun, beliau mencapai kejayaan besar menerusi High-Flyer, sebuah firma pelaburan kuantitatif yang pakar dalam menggunakan AI untuk menganalisis corak pasaran saham.
Teknik tersebut berjaya menarik aset bernilai puluhan bilion yuan, menjadikannya salah satu dana lindung nilai kuantitatif terkemuka di China.
“Kami hanya melakukan sesuatu mengikut tempo kami sendiri, kemudian mengira kos dan harga,” kata Liang kepada Waves. – AFP