Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ChatGPT: Alat pengajaran kreatif, menyeronokkan?

    LEXINGTON – Di bawah cahaya lampu pendarfluor dalam kelas tahun lima di Lexington, Kentucky, Donnie Piercey mengarahkan 23 pelajarnya untuk mencuba mengakali ‘robot’ yang menghasilkan tugasan penulisan.

    Robot tersebut adalah alat kecerdasan buatan (AI) terbaharu ChatGPT, yang mampu menghasilkan segala jenis penulisan dari esei dan puisi hingga kertas kerja dalam masa beberapa saat.

    Teknologi ini telah menimbulkan panik dalam kalangan guru dan mendorong sekolah untuk menyekat akses ke laman web tersebut.

    Namun, Piercey mengambil pendekatan lain dengan menggunakannya sebagai alat pengajaran, menyatakan bahawa tugasnya adalah untuk mempersiapkan pelajar-pelajar menghadapi dunia di mana pengetahuan tentang kecerdasan buatan akan diperlukan.

    “Inilah masa depan,” kata Piercey, yang menggambarkan ChatGPT sebagai teknologi terbaharu dalam 17 tahun pengajarannya yang mencetuskan kebimbangan tentang potensi penipuan.

    Guru, Donnie Piercey membincangkan tugasan penulisan bertajuk ‘Cari Bot’ semasa pembelajaran di Sekolah Rendah Stonewall. – AP
    Olivia Laski (kiri) dan Annabelle Harwood cuba ‘Mencari Bot’ dalam kelas Donnie Piercey di Sekolah Rendah Stonewall di Lexington. – AP

    Pelajar berlatih skrip drama yang dihasilkan ChatGPT sebelum pementasan di sekolah berkenaan. – AP
    Caleb Roberts (kanan) dan rakan sedarjah cuba ‘Mencari Bot’ dalam kelas di Sekolah Rendah Stonewall di Lexington. – AP

    Kalkulator, pengecek ejaan, Google, Wikipedia, YouTube.

    Sekarang semua pelajarnya memiliki Chromebook di meja mereka.

    “Sebagai pendidik, kami belum menemukan cara terbaik untuk menggunakan kecerdasan buatan. Tetapi ia akan datang, sama ada kita suka atau tidak.”

    Satu latihan di dalam kelasnya mempertaruhkan pelajar-pelajar melawan mesin dalam satu permainan penulisan interaktif yang rancak.

    Piercey meminta pelajarnya untuk ‘Cari Bot’: Setiap pelajar meringkaskan teks tentang juara tinju dan ikon Kentucky Muhammad Ali, seterusnya cuba memikirkan teks mana yang ditulis oleh chatbot.

    Pada peringkat sekolah rendah, Piercey kurang bimbang tentang penipuan dan plagiarisme berbanding guru di sekolah menengah.

    Daerahnya telah melarang pelajar menggunakan ChatGPT sementara membenarkan guru mengaksesnya.

    Ramai pendidik di seluruh negara berkata sekolah memerlukan masa untuk menilai dan memikirkan chatbot tetapi juga mengakui kesia-siaan larangan yang dapat diatasi oleh pelajar dalam teknologi hari ini.

    “Secara terus-terang, adakah saya berharap teknologi ini tidak diciptakan? Ya. Tetapi ia berlaku,” kata Steve Darlow, pelatih teknologi di Sekolah Daerah Santa Rosa di Florida, yang telah menyekat aplikasi itu di peranti yang dikeluarkan sekolah.

    Dia melihat kemunculan platform AI sebagai sesuatu yang ‘revolusioner dan menimbulkan gangguan’ bagi pendidikan.

    Dia membayangkan guru meminta ChatGPT untuk membuat ‘pelan pelajaran yang luar biasa sebagai pengganti’ atau membantu dalam memberikan penilaian tugasan.

    “Saya tahu ini adalah perdebatan yang ideal, tetapi ia juga perubahan yang nyata. Awda akan menikmati kelebihan dalam kehidupan, perniagaan dan pendidikan apabila menggunakannya.”

    ChatGPT segera menjadi fenomena global setelah dilancarkan pada November, dan syarikat pesaing termasuk Google berlumba untuk mengeluarkan versi chatbot AI mereka sendiri.

    Topik tentang platform AI dan bagaimana sekolah harus menanganinya menarik ratusan pendidik ke persidangan Teknologi Pendidikan Masa Depan di New Orleans bulan lalu, di mana guru matematik Texas, Heather Brantley menyampaikan ceramah mengenai ‘Keajaiban Menulis dengan AI untuk Semua Mata Pelajaran.’

    Brantley berkata dia kagum dengan kemampuan ChatGPT untuk menjadikan pelajaran matematik gred enam lebih kreatif dan relevan dengan kehidupan sehari-hari.

    “Saya menggunakan ChatGPT untuk meningkatkan semua mata pelajaran saya,” katanya dalam wawancara. Platform ini disekat kepada pelajar tetapi dibuka kepada guru di sekolahnya, White Oak Intermediate. “Ambil pelajaran apa pun yang awda lakukan dan katakan, ‘Berikan saya contoh dunia nyata,’ dan awda akan mendapat contoh-contoh dari hari ini – bukan 20 tahun yang lalu ketika buku teks yang kita gunakan ditulis.”

    Brantley menggesa sekolah supaya melatih kakitangan menggunakan platform AI untuk merangsang kreativiti pelajar dan kemahiran menyelesaikan masalah.

    “Kita mempunyai peluang untuk membimbing pelajar menempuh perkara besar yang akan menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Janganlah menyekat dan menyingkirnya.”

    Pelajar dalam kelas Piercey berkata chatbot membuat pembelajaran lebih menyeronokkan.

    Selepas beberapa pusingan “Cari Bot,” Piercey bertanya kepada kelasnya kemahiran yang telah diasah oleh AI.

    “Cara membuat ringkasan dan menggunakan kosa kata dan koma dengan betul,” kata seorang pelajar.

    Kemudian mereka mengadakan perbincangan mengenai kepentingan mengembangkan penulisan yang lancar dan bagaimana beberapa ayat chatbot tidak mempunyai gaya atau bernada kaku.

    Trevor James Medley, 11 tahun, berpendapat ayat yang ditulis oleh pelajar ‘mempunyai lebih banyak perasaan. Lebih mantap. Lebih bermutu.’

    Seterusnya, kelas beralih kepada penulisan drama, atau apa yang dipanggil oleh Piercey dalam lembaran kerja yang dibagikan, Pl ai Writing.

    Para pelajar berkumpul dalam kumpulan dan menulis (dengan menggunakan pensel dan kertas) watak-watak drama pendek yang mempunyai tiga adegan dalam plot yang merangkumi masalah yang perlu diatasi.

    Piercey memberikan butiran dari lembaran kerja kepada ChatGPT, bersama dengan arahan untuk menetapkan adegan di dalam kelas gred lima dan menambahkan kejutan dalam babak akhir.

    Baris demi baris, ChatGPT menghasilkan skrip penuh, yang kemudian disunting, dilatih dan dipentaskan oleh pelajar.

    “Pertama sekali, saya rasa kagum,” kata Olivia Laksi, 10, salah seorang watak protagonis.

    Dia suka bagaimana chatbot mengemukakan idea-idea kreatif.

    Tetapi dia juga menyukai bagaimana Piercey menggalakkan mereka mengubah frasa atau arahan pementasan yang tidak disukai mereka.

    “Ini membantu dari segi ia memberikan awda satu titik permulaan. Ia adalah penjana idea yang bagus.”

    Dia dan teman sekelasnya, Katherine McCormick, berkata mereka dapat melihat kelebihan dan kelemahan bekerja dengan chatbot.

    Chatbot dapat membantu pelajar mengatasi kebuntuan semasa menulis dan membantu mereka yang mempunyai kesukaran mengungkapkan idea secara tertulis.

    Selain itu, tidak adanya batasan dalam kreativiti yang boleh ditambah kepada kerja kelas.

    Pelajar gred lima itu nampaknya tidak menyedari tentang publisiti atau kontroversi mengenai ChatGPT.

    Bagi mereka, yang akan membesar sebagai pengguna AI pertama di dunia, pendekatan mereka adalah mudah: gunakannya untuk cadangan, tetapi lakukan kerja awda sendiri.

    “Kamu tidak patut mengambil kesempatan,” kata McCormick. “Kamu tidak belajar apa-apa jika kamu menaip apa yang kamu mahu, dan seterusnya ia memberikan kamu jawapannya.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda