Pelakon drama Kiah Pekasam, Rozita Che Wan berdebar menantikan acara merisik anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, minggu depan.
Tidak kisah siapa pun wanita pilihan hati anaknya, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, dia tak pernah meletakkan syarat kepada anak-anak dalam mencari pasangan hidup.
Rozita, 51, berkata dia gembira dan tidak sabar menyambut kehadiran ahli baharu dalam keluarga.
Katanya, dia menyukai calon isteri anaknya kerana wanita itu berhijab, selain tertarik dengan sikap bakal menantunya yang ringkas.
“Tak kisah siapa pun Ammar pilih, saya hanya nak anak saya bahagia. Sebagai suami, Ammar perlu mendidik isterinya menjadi lebih baik.
“Tapi, bila dapat isteri berhijab lebih mudah. Lagi satu, bakal isteri Ammar ini juga bukan jenis yang jenis suka main media sosial,” katanya.
Kongsi Rozita, dia yakin wanita yang juga lulusan universiti itu mempunyai keperibadian baik biarpun baru dua kali bertemu.
“Apa yang saya tahu keluarga bakal isteri Ammar orang baik-baik dan alim. Walaupun bekerja di luar negara, bapanya kerap pulang ke Malaysia dan pernah bermain golf bersama Ammar,” katanya.
Ditanya mengenai tarikh pernikahan, Rozita memberi bayangan majlis pernikahan hanya akan dilangsungkan setahun lagi, lapor BH Online.
“Keluarga bakal menantu mahu anak sulung mereka terlebih dahulu. Selepas itu, barulah diikuti dengan majlis Ammar.
“Bagaimanapun, mengenai majlis termasuk bertunang hanya akan dibincangkan ketika merisik nanti. Doakan majlis berjalan dengan lancar,” katanya. – Agensi