Oleh sebab lama berdiam diri dan menahan sabar, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta akhirnya ‘mengamuk’ dengan kontraktor yang didakwa gagal menyiapkan projek pengubahsuaian kediamannya sejak dua tahun yang lalu.
Berang selepas banyak wang dibelanjakan, Rozita memuat naik video melalui Instagram Story yang antara lain menunjukkan projek pengubahsuaian banglo miliknya di Damansara, Petaling Jaya, tidak siap.
“Siapa yang mampu bersabar selepas dua tahun, kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan rumah saya tak siap-siap.
Che Ta meluahkan rasa kesalnya terhadap kontraktor Melayu yang diupahnya tidak melaksanakan tugas seperti yang dijanjikan. Menurutnya lagi berniat untuk membantu bangsa sendiri tetapi hasilnya mengecewakan dan baginya bukan untuk memalukan orang Melayu tetapi hakikatnya sudah diberikan peluang tapi mensia-siakannya.
Rozita mendakwa sudah membelanjakan jutaan ringgit untuk projek pengubahsuaian kediamannya itu.

“Saya lantik kontraktor ini atas saranan teman. Nampaknya, kadang-kadang, cadangan kawan pun tak boleh pakai,” katanya.
Rozita menambah, sikap kontraktor terbabit amat mengecewakan. “Bayangkanlah, kalau tak bayar duit, kerja tak jalan. Apabila kita bayar, sikit-sikit minta wang lagi.
“Mungkin mereka guna duit tidak betul sehingga kerja jadi tergendala. Peruntukan membayar pekerja dan membeli bahan binaan juga mungkin kehabisan,” katanya.
Rozita berkata, dia memberi tarikh akhir iaitu 10 Januari lalu kepada kontraktor terbabit untuk menyiapkan semua kerja.
“Balkoni, lantai, itu dan ini semuanya tak siap. Akhirnya mereka lari. Sekarang saya terpaksa buat pelan B dengan melantik kontraktor baharu menyudahkan semua kerja,” katanya.
Rozita mendakwa sudah puas menghubungi nombor telefon dan melayangkan mesej kepada kontraktor terbabit, namun, tidak mendapat balasan.
“Saya diberi bermacam-macam alasan seperti sudah berpindah pejabat, kakitangan berhenti kerja dan bermacam-macam perkara lain.
“Lucunya, foto dan video proses pengubahsuaian rumah saya dipromosikan pada akaun kontraktor terbabit. Kerja tak siap, ada hati pula hendak perkenalkan perkhidmatan mereka kepada orang lain,” katanya. – Agensi