Pelakon Rozita Che Wan tidak pernah jemu berkongsi kisah tentang pengalaman membesarkan anak-anaknya yang kini semakin menginjak dewasa.
Bagi Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 52, mendidik anak bukan sekadar memberi tumpuan kepada pelajaran semata-mata terutama untuk anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana.
Tambah Che Ta, dia amat menekankan kepentingan menguasai kemahiran asas di dapur supaya Aaisyah mampu berdikari dan menjadi isteri serta ibu yang serba boleh pada masa hadapan.
“Dia (Aaisyah) kena tahu perkara asas di dapur sebab dia anak perempuan. Macam dua anak lelaki, saya suruh mereka fokus belajar.
“Walaupun satu hari nanti Aaisyah memiliki kerjaya yang baik, tapi suami tiba-tiba lapar tengah malam dia mesti kena masak,” kata Che Ta kepada mStar.
Menurut Rozita, Aaisyah, 11, ada menunjukkan minat dalam bidang masakan sejak kecil, dan sebagai ibu, dia hanya membantu mengasah minat itu berdasarkan pengalaman sendiri.
Bagi pelakon ini, dia tidak mahu ada tanggapan negatif terhadap anaknya yang hanya bergantung kepada penampilan tanpa kemahiran asas di dapur.
“Alhamdulillah Aaisyah memang minat dan saya pupuk minat tu, tidaklah nanti orang kata harap muka lawa, hantaran mahal tapi tak reti masak,” ujarnya.
Bagaimanapun, Rozita mengakui mendidik Aaisyah bukan sesuatu yang mudah kerana dia terpaksa mengambil pendekatan tegas agar segala tunjuk ajar dapat difahami dan diikuti dengan baik.
Berbeza pula dengan pendekatan suaminya iaitu aktor Zain Saidin yang lebih lembut dan tenang dalam menasihati anak.
“Saya tegas mendidik Aaisyah, sebab kalau tak tegas memang susah nak masuk dalam kepala. Bila tegas sikit baru dia dengar dan faham. Cara saya macam mak saya didik dulu, gaya orang lama. Kalau cakap lemah lembut, dia ingat saya menyanyi sebelah dia. Zain lebih lembut sikit, dia cakap macam berborak,” jelasnya. – Agensi
