Jika ada pertandingan selebriti paling bergaya setiap kali Syawal menjelma, pasti kemenangan berpihak kepada pelakon sensasi, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta.
Setuju ataupun tidak, itulah hakikat yang harus diterima apabila bercakap mengenai figura cantik yang suka melaram dalam apa juga majlis yang dihadirinya.
Jika tahun lalu, Che Ta dan keluarga meraikan lebaran di Kuala Lumpur, kali ini menyambutnya di kampung halaman Che Ta di Alor Setar, Kedah.
“Tahun ini seronok sikit kerana adik-beradik saya balik kampung kecuali Ayu Raudhah yang sedang sarat ketika itu,” katanya yang banyak membeli biskut raya disebabkan kesuntukan masa untuk membuatnya.
Meskipun dari segi zahir, kelihatan Rozita dan suami, Zain Saidin dianggap sebagai ibu bapa moden, namun pelakon yang terkenal dengan imej bulu mata palsu ini masih kukuh nilai tradisional dalam dirinya.

Memperincikan perkara itu, pelakon yang popular dengan drama Kiah Pekasam ini memaklumkan, dia menerapkan budaya balik kampung pada tiga cahaya matanya.
“Kalau balik utara, mereka akan ikut sama. Anak-anak memang suka balik kampung terutama Aaisyah Dhia Rana kerana seronok dapat jumpa sepupu-sepupunya.
“Mana tidaknya, saya ada tujuh beradik dan bercampur keluarga serta pembantu, memang meriah rumah mak saya.
“Kalau dari sekarang tidak mengajar anak-anak balik kampung, jumpa saudara mara dan bersalaman, nanti tak nak beraya ikut isteri bila berumah tangga nanti.
“Saya tak mahu anak-anak saya bersikap sedemikian,” katanya yang pernah anjurkan rumah terbuka di kampung, namun rutin itu terpaksa dihentikan kerana keletihan melayan tetamu yang tidak henti-henti berkunjung. – Agensi