Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Chee Hoong menyerlah di Bahrain

    KUALA LUMPUR, 10 NOV – Atlet para Malaysia, Lee Chee Hoong mengharumkan nama negara di mata dunia apabila berjaya merangkul pingat emas dalam Piala Boccia Dunia 2022 di Riffa, Bahrain, kelmarin.

    Pada aksi final acara BC2 lelaki, Chee Hoong, yang berkerusi roda, menebus kekecewaan apabila menewaskan peserta Indonesia, Muhammad Bintang Satria Herlangga 6-3.

    Atlet Thailand, Phakphum Linchum melengkapkan pentas podium di tempat ketiga selepas mengalahkan rakan senegara, Worawut Saengampa, 5-2, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

    Sebelum itu, pada aksi peringkat kumpulan D, Muhammad Bintang mengalahkan Chee Hoong 5-4 untuk mengungguli kumpulan manakala atlet Malaysia itu menduduki tempat kedua dan Murtadha Al-Saedi dari Iraq di tempat ketiga.

    Selaku naib juara kumpulan, Chee Hoong mara ke suku akhir selepas menewaskan juara Kumpulan C, Felix Ardi Yudha dari Indonesia sebelum menewaskan Linchum 4-1 di separuh akhir.

    Untuk rekod, April lalu, Chee Hoong menang emas di Kejohanan Pencabar Boccia Dunia di Zagreb, Croatia.

    Sementara itu, Majlis Paralimpik Malaysia, dalam hantaran di laman Facebooknya, mengucapkan tahniah kepada Chee Hoong atas pencapaian cemerlangnya di Bahrain.

    “Kami bangga dengan anda,” katanya. – Bernama

    Chee Hoong berjaya merangkul emas dalam Piala Boccia Dunia 2022 di Riffa, Bahrain. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...