Oleh Nurqalby Mohd Reda –
KUALA LUMPUR – Bukan setakat kek yang cantik berwarna-warni tetapi Farah Nurul Asyikin Mohamad Sukri yang mesra dipanggil Feyra turut menggunakan daya kreativitinya menghasilkan kek aiskrim dan keju.
Bentuk kek yang dihasilkannya juga berbeza berbanding yang ada di pasaran, ditambah seri dengan hiasan seperti manik-manik gula yang pastinya memikat hati penggemar serta peminat kek serta manisan.
Biarpun masih ‘hijau’ dalam bidang pembuatan kek kerana baru memasuki tahun ketiga, anak kelahiran Ampang, Selangor berusia 28 tahun ini optimis dan terus gigih mencari peluang dengan memasarkan produk keluarannya menerusi label Therapeucake.co.
TOM AND JERRY CHEESECAKE, CAKESLICES
Penulis yang bertemu Feyra baru-baru ini berkesempatan melihat sendiri bagaimana beliau memulakan proses membuat kek, daripada peringkat menyediakan adunan sehinggalah ke peringkat akhir iaitu menghias kek.
Lepasan Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling dan Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini ternyata tidak kekok langsung dengan apa yang dilakukannya itu.
“Memang sebelum ini tiada pengalaman membuat kek. Buat kek ini pun bermula awal 2020 dengan sekadar mencuba berikutan tidak betah duduk sahaja di rumah tanpa berbuat apa-apa selepas menamatkan pengajian pada 2019.
“Apatah lagi selepas COVID-19 melanda negara dan peluang pekerjaan juga tertutup ketika itu, akhirnya saya terpaksa memendam hasrat untuk mencari kerja khususnya dalam bidang kaunseling mahupun psikologi,’’ katanya ketika ditemu bual Bernama.
Feyra sebelum ini pernah bekerja sebagai pembimbing dalam talian untuk pelajar sekolah menengah dengan mengajar subjek teras seperti Sains dan Matematik bagi menjana pendapatan sendiri di samping tidak mahu terus bergantung harap dengan keluarga.
Namun begitu, kerjaya itu tidak kekal lama selain pendapatan yang diterima juga tidak seperti yang diharapkan.
“Dalam tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, saya duduk di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan dan idea membuat kek berbentuk aiskrim dan keju ini datang secara tiba-tiba apabila kebetulan saya menonton video di YouTube tentang cara membuatnya.
“Meskipun pada awalnya agak renyah, saya tetap cabar diri untuk mencuba… dengan hanya gunakan modal sendiri yang dikumpul ketika mengajar sekitar RM60, saya membeli tepung, pewarna dan acuan manakala peralatan lain kebanyakannya memang sedia ada di rumah termasuk ketuhar dan mesin pengadun,” kata anak keempat daripada enam beradik ini.
ALAH BIAS TEGAL BIASA
Menurut Feyra pada peringkat awal perniagaan yang dimulakan di rumah, ahli keluarga adalah pelanggan utama juga pembantu selain sebagai pengkritik tegar produknya.
“Dalam masa seminggu saya banyak kali mencuba dan gagal. Saya minta keluarga rasa dan apabila mereka kata sedap dan bagi ‘lampu hijau’ yang kek ini boleh di jual, barulah saya berani menjual pada kawan-kawan dan jiran.
“Selepas itu saya ambil tempahan daripada penduduk sekitar Ampang. Dalam sehari saya buat lebih kurang tiga ke lima buah kek sahaja untuk satu tempahan dan tempahan tidak lebih daripada tiga pelanggan,’’ katanya dengan menjelaskan sebuah kek mengandungi beberapa keping kes keju dan kes aiskrim, mengikut pilihan pembeli.
Dalam tempoh tiga bulan pertama, Feyra hanya menumpukan perniagaannya kepada kek keju sebelum menawarkan pilihan kek berbentuk aiskrim kepada pelanggan.
Mengakui hampir berputus asa apabila ada kek yang dibuat tidak menjadi Feyra turut mengolah resepi asal supaya ia menepati kehendaknya.
“Situasi paling sukar ialah untuk mendapatkan hasil acuan yang cantik untuk kedua-dua jenis kek. Kek bentuk keju yang paling susah kerana bahagian dalamnya diperbuat daripada keju yang diadun dengan perasa mengikut cita rasa pelanggan antaranya vanila, oreo dan coklat gelap sebelum kita salut dengan coklat putih.
COVID-19 BERI REZEKI
Menyifatkan PKP sebagai ‘ada hikmahnya’ apabila membuka ruang dan peluang untuk produk yang diusahakannya, siapa menyangka di saat sektor ekonomi negara lumpuh ketika itu, perniagaan kek Feyra sebaliknya mampu terus berkembang.
Tindakan beliau memanfaatkan sepenuhnya media sosial dengan aktif mengiklankan produk keknya bermula dengan Facebook dan kemudiannya TikTok dan Instagram berjaya melonjakkan perniagaan golongan peniaga kecil sepertinya.
“Di saat mungkin ada pemilik premis yang terpaksa gulung tikar, saya bersengkang mata demi menyiapkan tempahan yang mencapai lebih 200 tempahan sehari sehinggakan pada awal 2021 saya terpaksa berpindah operasi dari di rumah di Estana Court Condo, Ampang ke kedai runcit milik bapa yang juga terletak di lokasi sama, sampai ke hari ini.
Menurut Feyra, trend beli-belah dalam talian ketika PKP turut membawa kepada tempahan yang bukan sahaja dari sekitar Lembah Klang malahan dari Negeri Sembilan, Perak dan Melaka, menjadikan beliau terus bersemangat menambah baik produknya termasuk melabelkannya dengan jenama Therapeucake.co.
Beliau menjelaskan, Therapeucake.co diambil dari kata dasar therapy yang merujuk kepada proses beliau menghasilkan kek bagaikan satu terapi di samping mahu mengetengahkan dirinya yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kaunseling dan psikologi.
Selain menjual kek untuk dinikmati terus oleh pelanggan, Feyra turut menghasilkan kek dan manisan yang boleh dijadikan sebagai cenderahati atau hadiah untuk majlis tertentu termasuk ulang tahun kelahiran, pertunangan dan tanda terima kasih. – Bernama