Cheetah kian pupus kerana perdagangan haram

HARGEISA, SOMALIA – Anak cheetah yang kecil dan berumur beberapa minggu menyusu dari botol dan berdengkur lemah, keadaannya masih berbahaya selepas diselamatkan daripada perdagangan hidupan liar haram Afrika.

Kira-kira separuh anak cheetah yang diselamatkan daripada pengedar tidak terlepas daripada trauma – dan terdapat kebimbangan sebenar untuk yang terkecil daripada kumpulan tersebut, anak cheetah lemah yang digelar ‘Green’ dengan berat hanya 700 gram.

“Nasib Green tidak dapat diramalkan,” kata Laurie Marker, pengasas kumpulan dana pemuli-haraan Cheetah (CCF), yang memeriksa anak cheetah itu di pusat pertubuhan penyelamatan berasaskan tanpa keuntungan di Somaliland.

Haiwan-haiwan itu merupakan yang bernasib baik – setiap tahun dianggarkan 300 anak cheetah diperdagangkan melalui Somaliland kepada pembeli kaya di Timur Tengah yang mencari haiwan peliharaan eksotik.

Dirampas daripada ibunya, dihantar keluar dari Afrika ke Yaman yang dilanda perang dan seterusnya ke Teluk, anak-anak cheetah yang terselamat daripada ujian itu boleh dijual dengan harga sehingga AS$15,000 di pasaran gelap.

Laurie Marker ketika menyediakan makanan untuk cheetah dalam salah satu kemudahan di Hargeisa. – AFP

Ia adalah perdagangan yang sibuk, yang kurang dikenali berbanding pasaran gelap untuk gading gajah atau sumbu badak, tetapi sama-sama memusnahkan kucing besar Afrika yang paling terancam.

Seabad yang lalu, terdapat kira-kira 100,000 cheetah di seluruh dunia. Hari ini hampir 7,000 kekal, bilangannya berkurangan atas sebab pencerobohan manusia dan pemusnahan habitat.

Rampasan berterusan anak-anak cheetah dari hutan liar untuk memuaskan perdagangan haiwan peliharaan hanya menambah kepupusan ini.

Lebih daripada 3,600 cheetah hidup telah didagangkan secara haram di seluruh dunia dalam dekad hingga Disember 2019, menurut kajian yang diterbitkan tahun ini yang mendokumentasikan beratus-ratus iklan untuk anak-anak cheetah di platform media sosial termasuk YouTube dan Instagram.

“Jika ini berterusan, penjualan seperti itu akan menyebabkan populasinya pupus dalam masa yang singkat,” kata Marker, pihak berkuasa terkemuka mengenai cheetah.

Cheetah telah dihargai sebagai haiwan peliharaan dan rakan memburu sejak Empayar Rom dan membiak haiwan itu dalam kurungan adalah amat sukar, menjadikan anak cheetah yang ditangkap liar sebagai satu-satunya pilihan.

Sebahagian daripada kempen untuk membasmi perdagangan zaman moden telah memberi tumpuan kepada perubahan sikap di negara Teluk yang makmur, pasaran pembeli utama di mana cheetah masih dianggap simbol status yang didambakan.

Marker berkata pemilik kaya suka mempamerkan cheetah mereka dalam gambar sama seperti kereta dan wang tunai.

Membanteras perdagangan haram ini amat mencabar kerana ia mengeli-lingi kawasan Somaliland, sebuah republik yang diisytiharkan sendiri tanpa pengiktirafan antarabangsa dan salah satu wilayah termiskin di dunia.

Kira-kira saiz Syria, dengan 850 kilometer garis pantai menghadap Yaman, wilayah pemisah antara Etiopia, Djibouti dan Somalia terbentang nipis pengawasan sempadannya.

Menteri dalam Negeri Somaliland, Mohamed Kahin Ahmed memberitahu AFP bahawa unit pengawal pantai kecil sedang melakukan yang terbaik tetapi selain daripada meronda untuk mencari cheetah, mereka juga menghadapi masalah penyeludup manusia dan penyeludup senjata api.

Anak-anak cheetah yang tergelincir melalui jaring mengalami penganiayaan yang teruk di sepanjang laluan penyeludupan, diberi makan secara tidak wajar dan dikurung dalam sangkar kecil, kadang-kadang kaki diikat dengan ikatan zip.

Marker berkata satu rampasan tertentu pada 2019 menggambarkan kekejaman itu: “Apabila penyeludup haram membuang binatang ini, ada yang masih hidup di atas haiwan yang sudah mati, ia sungguh kejam,” katanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rampasan telah meningkat apabila kerajaan telah bertindak keras terhadap perdagangan itu.

Daripada hanya sejumlah anak cheetah pada 2018, hari ini CCF melindungi 67 ekor cheetah yang diselamatkan di tiga rumah perlindungan di ibu negara Somaliland, Hargeisa.

Undang-undang yang menjenayahkan penjualan cheetah juga telah mula dikuatkuasakan.

Pada Oktober 2020, kumpulan penyeludupan telah diserbu dan pengedar berprofil tinggi didakwa dalam perbicaraan penting.

Melalui program yang dibiayai oleh kerajaan UK, Somaliland mengembangkan perkongsian perisikan dengan negara jiran dan Yaman untuk memerangi penjenayah yang memburu secara haram spesies ikonik Afrika.

Tetapi kerajaan juga bekerjasama dengan masyarakat luar bandar yang miskin, yang permasalahan dengan cheetah adalah satu lagi pemacu dalam perdagangan.

Antara 13 ekor anak cheetah yang dirampas antara September dan November, sekurang-kurangnya empat diambil oleh petani dengan harapan dapat menjualnya dan menebus kerugian selepas mendakwa ternakan mereka dibunuh oleh cheetah. – AFP