WATFORD, UNITED KINGDOM, 2 DIS – Thomas Tuchel mengakui Chelsea bernasib baik apabila pendahulu Liga Perdana itu terselamat daripada persembahan kurang meyakinkan sebelum menang 2-1 menewaskan Watford.
Skuad kendalian Tuchel jauh daripada prestasi terbaik mereka di Vicarage Road, namun Hakim Ziyech meledak gol kemenangan pada minit ke-72 untuk melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 12 perlawanan dalam semua kejohanan.
Mason Mount meletakkan Chelsea di depan menerusi gol keempatnya musim ini pada minit ke-29 sebelum Emmanuel Dennis menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat babak pertama.
Watford mampu berkongsi satu mata selepas memberi tekanan terhadap Chelsea selepas perlawanan tergendala 30 minit kerana pasukan perubatan membantu penyokong diserang ‘cardiac arrest.’
“Kami tidak menemui perwatakan sebenar. Kami menghadapi masalah besar dari aspek individu dan sebagai sebuah pasukan, kami tidak pernah merasa kuat,” kata Tuchel.
“Kami merasai kehilangan sebahagian pemain. Kami ada pemain yang keletihan.
Kami mencuri tiga mata. Kami tidak perlu lagi bercakap mengenainya.”
Tuchel tidak mempunyai masalah menyalahkan dirinya dan pemain kerana gagal menandingi kesungguhan dan pendekatan fizikal Watford dalam aksi tersebut.
“Itu bukan cara kami bermain sebenarnya. Kami memang tidak bersedia untuk perlawanan ini. Saya tidak melakukan pendekatan yang betul untuk mempersiapkan pasukan dalam perlawanan,” kata Tuchel. – AFP
