LIVERPOOL, 1 Mei – Antonio Conte memberi amaran kepada Chelsea untuk tidak mensia-siakan peluang mereka untuk menjulang gelaran Liga Perdana selepas pendahulu liga itu melepasi halangan besar dengan kemenangan 3-0 di Everton.
Pasukan Conte mengukuhkan kedudukan mereka di puncak liga dengan mempamerkan persembahan hebat di Goodison Park, tetapi pasukan di tangga kedua, Tottenham masih mengejar rapat.
Rembatan menarik Pedro dan gol-gol daripada Gary Cahill dan Willian telah memastikan kemenangan keempat Chelsea dalam lima perlawanan terakhir mereka, mencetuskan kegembiraan daripada Conte dan para pemainnya.
Berlompat-lompat di depan penyokong Chelsea, Conte kelihatan seolah-olah pasukannya sudah semakin dekat dengan gelaran liga.
Tetapi sementara Blues dalam perjalanan pulang ke London, Tottenham pula meraih satu kemenangan penting ke atas Arsenal, yang mengekalkan pemburuan mereka.

Dengan baki empat perlawanan lagi, Chelsea mempunyai kelebihan empat mata ke atas Tottenham dan skuad Mauricio Pochettino boleh mengurangkan jurang itu kepada satu mata jika mereka menang di West Ham Sabtu ini, sebelum pendahulu menerima kunjungan Middlesbrough Selasa depan.
Conte sedar bahawa ia hanya memerlukan satu keciciran untuk memberikan Tottenham harapan sebenar untuk mengatasi mereka dan dia memberi amaran kepada para pemainnya untuk tidak memikirkan bahawa perlumbaan sudah berakhir.
“Ia adalah kemenangan hebat tetapi ini adalah sebahagian daripada musim di mana kemenangan adalah penting untuk kami,” katanya.
“Atas alasan ini kami perlu meraikannya dengan cara yang betul, dengan pemain, kakitangan dan penyokong kami.
“Kami mempunyai semangat yang kuat dan kesabaran yang hebat kerana kami mempunyai musim yang hebat, tetapi untuk menjadikan musim ini menakjubkan kami perlu memenanginya (gelaran).” – AFP