LONDON, 31 OGOS – Chelsea dan Everton nyaris-nyaris tersingkir daripada Piala Liga ketika menentang pasukan divisyen empat untuk mara ke pusingan ketiga kelmarin.
Di Stamford Bridge, Chelsea ketinggalan ketika menentang kelab kerdil, AFC Wimbledon sebelum bangkit mencatatkan kemenangan 2-1 hasil jaringan pertama Enzo Fernandez untuk kelab itu.
Everton yang bergelut dengan prestasi, juga bangkit daripada ketinggalan pada babak akhir untuk menewaskan Doncaster 2-1.
Mauricio Pochettino melakukan tujuh pertukaran daripada pasukan yang menewaskan Luton 3-0 untuk kemenangan pertamanya sebagai bos Chelsea, Jumaat lalu.
James Tilley mengejutkan Chelsea apabila meledak gol minit ke-19 sebelum Noni Madueke menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Pemenang Piala Dunia bersama Argentina, Fernandez yang masuk dari bangku simpanan meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-72.
“Ia perlawanan sukar tetapi kami berasa seronok,” kata Pochettino, yang menyaksikan pasukannya bakal menerima kunjungan Brighton pada pusingan ketiga.
Selepas tiga kekalahan berturut-turut pada permulaan liga, Everton pula bergelut berdepan Doncaster yang menghuni tangga tercorot divisyen empat.
Mereka ketinggalan pada minit ke-44 apabila Joe Ironside menghukum kealpaan benteng untuk menanduk masuk hantaran silang Tommy Rowe yang melepasi Jordan Pickford.
Bagaimanapun, pemain yang baru dibeli, Beto menyamakan kedudukan buat Everton pada minit ke-73, meluru menyambut hantaran Abdoulaye Doucoure sebelum mengatasi pertahanan lawan dan melakukan penyudah kemas ke penjuru gol bagi jaringan pertama The Toffees musim ini.
Jaringan tenang Arnaut Danjuma dari penjuru kotak penalti pada minit ke-88 mewujudkan pertembungan pusingan ketiga di Aston Villa. – AFP