Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chelsea Juara Eropah, City pulang tangan kosong

    PORTO, 30 MEI – Chelsea menjuarai trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua selepas jaringan Kai Havertz melengkapkan kemenangan 1-0 ke atas Manchester City dalam pertemuan final di Porto, sekali gus menghancurkan impian Pep Guardiola untuk menjulang trofi tersebut buat kali ketiga.

    Havertz melepaskan Ederson untuk menjaringkan gol tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir di Estadio do Dragao dan pemain Chelsea berlari untuk meraikan bersama pemain Jerman tersebut.

    Jurulatih, Thomas Tuchel, dilihat penuh bertenaga dari tepi padang dan meraikan kemenangan selepas Chelsea berjaya bertahan untuk mencatatkan kemenangan di separuh masa kedua setelah City kehilangan ketua pasukan mereka, Kevin De Bruyne akibat kecederaan.

    Kelab London tersebut berada di tangga keempat di Liga Perdana Inggeris, dengan jurang 19 mata di belakang juara, City, tetapi kali ini mereka mencatatkan kemenangan ketiga ke atas pasukan Guardiola dalam tempoh enam minggu.

    Mereka melenyapkan harapan City untuk memenangi treble apabila mereka berjaya mencatat kejayaan di Piala FA peringkat separuh akhir pada April dan menunda sambutan kejuaraan dengan kemenangan di Manchester.

    Reaksi pemain Chelsea menjulang trofi selepas berjaya meraih kejayaan Liga Juara-Juara setelah mengalahkan Manchester City di Porto, kelmarin. – AFP

    Kini, aksi final yang disaksikan oleh jumlah peminat yang terhad seramai 14,000 orang mencipta suasana gemuruh, mereka menafikan peluang City bergelar juara Eropah yang diimpikan oleh Guardiola dan pasukannya.

    “Perlawanan yang sangat sengit, sangat hebat. Hari ini kami berazam untuk memenanginya. Kami mahu menjadi penghalang mereka,” Tuchel memberitahu BT Sport.

    “Usaha keras ditunjukkan. Kami berjaya menempuhi saat mencabar dan sikap luar biasa semasa bertahan.”

    Sementara itu, City menunggu selama 13 tahun selepas diambil alih oleh pemilik dari Abu Dhabi, Sheikh Mansour untuk mara ke final Liga Juara-Juara.

    Mereka kini pasukan kelapan untuk tewas di penampilan sulung pada peringkat ini. Nasib yang sama dirasai pemilik PSG tahun lalu serta Tottenham Hotspur ketika dikalahkan oleh Liverpool pada 2019. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda